fbpx
Fadillah berucap pada Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon 2026) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. Foto oleh ISKANDAR ISHAK/ KOSMO!

Petra lancar 119 inisiatif percepat agenda peralihan tenaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) akan melancarkan Pelan Strategik 2026-2030 yang mengandungi 119 program dan inisiatif serta 133 sasaran boleh ukur bagi mempercepatkan agenda peralihan tenaga negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Amar Fadillah Yusof berkata, pelan lima tahun itu dipandu oleh Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan matlamat Malaysia mencapai pelepasan bersih sifar seawal tahun 2050.

Menurutnya, pelan tersebut memberi fokus kepada naik taraf grid elektrik, pendigitalan sektor tenaga dan pengurusan sisi permintaan bagi memastikan sistem tenaga negara lebih cekap dan responsif.

Katanya, hasrat kerajaan adalah untuk membangunkan sistem tenaga yang lebih berdaya tahan serta mampu menyokong pertumbuhan ekonomi negara pada masa hadapan.

“Peralihan ini memerlukan ekosistem yang membolehkan sektor awam dan swasta bekerjasama dengan yakin untuk mempercepatkan pelaksanaannya mengikut skala yang diperlukan.

“Niat dasar kami jelas iaitu membina sistem sedia masa depan yang menyokong pertumbuhan ekonomi sambil memajukan komitmen iklim negara,” katanya ketika berucap pada Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon 2026) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Fadillah berkata, Malaysia telah lama mengambil langkah mempelbagaikan sumber tenaga apabila tenaga boleh baharu diperkenalkan sebagai bahan api kelima di bawah Dasar Tenaga Negara sejak tahun 1990-an.

Menurutnya, portfolio tenaga boleh baharu negara kini merangkumi solar, hidro kecil, biojisim dan biogas dengan tenaga solar muncul sebagai segmen paling pesat berkembang.

Beliau berkata, Malaysia berjaya mencapai kapasiti tenaga boleh baharu terpasang melebihi 13.3 gigawatt setakat tahun 2025 hasil kerjasama kerajaan dan pemain industri.

Tambahnya, kejayaan peralihan tenaga perlu diukur berdasarkan keupayaan negara menyediakan masa depan yang lebih mampan, selamat dan makmur kepada generasi akan datang.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN