PETALING JAYA – Seorang pemuda yang terbuka hati untuk menunaikan solat isyak di sebuah surau berhampiran rumahnya bertukar menjadi hiba apabila mendapati imam di surau itu sedang mendirikan solat sendirian.
Menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di aplikasi Threads oleh @4meradam, persoalannya mengenai keadaan sunyi sepi tanpa suara jemaah setiap kali selepas azan dilaungkan kini sudah terjawab akibat ketiadaan makmum.
“Hari ini tergerak nak solat isyak di surau depan rumah, sudah terjawablah kenapa lepas azan senyap tak dengar orang, rupanya tiada makmum,” katanya.
Menurutnya, selepas terkesan dengan situasi itu, dia bertekad untuk lebih rajin menunaikan ibadah solat di surau itu.
“Dah tahu dah selepas ini memang rajinlah aku nak pergi surau teman imam ini, pahala pun dapat jugakan,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna memuji tindakan pemuda tersebut yang menghadirkan diri ke surau itu.
“Ajak kawan-kawan dan jiran sekali dik. Rugi sebab solat berjemaah ni besar pahala dia,” ujar Neffendyh.
“Tahniah dik. Biasakan diri untuk terus ke surau ya selepas dengar azan,” kata Cahaya_farabi pula.
“Semoga adik menjadi asbab ramai menjadi makmum selepas ini,” tambah Ieka_rhm. – KOSMO! ONLINE














