fbpx

Konflik Palestin-Israel: Biden optimis gencatan senjata dilanjutkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk Palestin berjalan di Jalan Salaheddine di hadapan kereta-kereta kebal Israel, pinggir Bandar Gaza kelmarin. – AFP

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menyatakan bahawa pembebasan kumpulan tebusan pertama oleh Hamas hanyalah ‘permulaan’, sedangkan terdapat peluang ‘sebenar’ untuk gencatan senjata sementara di Semenanjung Gaza dilanjutkan.

Bercakap kepada pemberita di Nantucket, Massachusetts kelmarin di mana beliau menghabiskan percutian Hari Kesyu­kuran bersama keluarganya, Biden memberitahu, sudah tiba masanya memperbaharui usaha untuk menghidupkan semula penyelesaian dua negara bagi mencapai keamanan antara Israel dan Palestin.

Seramai 24 tebusan terdiri daripada 13 warga Israel, 10 rak­yat Thailand dan seorang penduduk Filipina diserahkan oleh Hamas kepada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa di Gaza kelmarin.

Israel pula membebaskan seramai 39 wanita dan kanak-kanak bawah umur yang ditawan di penjaranya, demikian menurut Kementerian Luar Qatar yang berperanan sebagai orang tengah dalam pertukaran tersebut.

Biden yang menge­tuai usaha AS untuk memastikan jeda kemanusiaan atau gencatan senjata sementara antara Israel dan kumpulan Hamas berjalan lancar berkata: “Saya fikir ini peluang ‘nyata’ untuk melanjutkan gencatan senjata.”

Beliau mengalu-alukan permulaan proses itu sebagai gencatan senjata selama empat hari untuk memudahkan pembebasan tebusan dan penghantaran bantuan ke Semenanjung Gaza.

“Pagi ini (kelmarin) saya telah berhubung dengan pasukan saya ketika kami memulakan beberapa hari pertama dalam melaksanakan perjanjian ini. Ia hanya permulaan, tetapi setakat ini ia berjalan lancar,” katanya.

Ditanya mengenai tebusan wanita dan kanak-kanak AS yang boleh dibebaskan sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut, kata Biden, beliau tidak tahu bila mereka akan dibebaskan tetapi menjangkakan pembebasan akan berlaku.

Beliau juga menggesa usaha lebih meluas dilakukan untuk keluar daripada krisis semasa ke arah mewujudkan sebuah negara Palestin yang berdaya maju dan wujud bersama Israel.

“Kita perlu memperbaharui keazaman untuk meneruskan penyelesaian dua negara,” katanya.

Terdahulu, penunjuk pera­saan di seluruh AS menggesa Biden untuk mendesak gencatan senjata kekal dilaksanakan di Gaza dengan protes berlangsung pada Khamis lalu mengganggu perarakan Hari Kesyukuran terbesar di New York.

Semasa Biden menghadiri majlis pencahayaan pokok Krismas di Nantucket kelmarin, sekumpulan 10 penunjuk perasaan melaungkan ‘Biden, Biden anda tidak boleh bersembunyi, kami mendakwa anda kerana melakukan pembunuhan beramai-ramai’ sambil memegang sepanduk tertera slogan ‘Bebaskan

Palestin’ dan ‘gencatan senjata sekarang.’

Perang tercetus selepas Hamas melancarkan serangan ke atas Israel pada 7 Oktober lalu.

Konflik itu mencetuskan serangan udara dan darat secara besar-besaran oleh Rejim Zionis yang berikrar untuk menghapuskan kumpulan pejuang Palestin itu.

Di Semenanjung Gaza, kira-kira 15,000 orang termasuk 6,150 kanak-kanak terbunuh dalam perang tersebut, kata pegawai-pegawai kesihatan Palestin.

Kira-kira 1,200 orang pula maut di Israel semasa serangan pada 7 Oktober lalu dan kira-kira 240 yang lain dijadikan tebusan, demikian menurut pegawai Israel. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI