fbpx

Konflik Palestin-Israel: Zionis bunuh 200 penduduk Tebing Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tentera Israel mengepung kawasan rumah penduduk Palestin di Baitulmuqaddis Timur pada 16 November lalu. - AFP

RAMALLAH, Tebing Barat – Lebih 200 rakyat Palestin terbunuh di Tebing Barat sejak kumpulan Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober lalu, lapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyuarakan kebimbangan tentang kempen ketenteraan Zionis.

Agensi berita United Press International (UPI) melaporkan, tentera Israel melancarkan pelbagai operasi ketenteraan sejak serangan Hamas awal bulan lalu dalam memerangi pejuang Palestin.

Bagaimanapun, hakikat bahawa Hamas hanya beroperasi di Semenanjung Gaza dan bukannya di wilayah Tebing Barat menarik perhatian orang ramai mengenai skop dan kapasiti tindak balas tentera Israel.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) dalam satu kenyataan berkata, seramai 198 rakyat Palestin termasuk 52 kanak-kanak telah dibunuh tentera Israel di Tebing Barat, manakala lapan lagi termasuk seorang kanak-kanak maut di tangan peneroka haram Yahudi.

Tambah OCHA, kira-kira 66 peratus daripada mereka yang terbunuh dalam operasi mencari dan menangkap pejuang Palestin oleh tentera Israel di Tebing Barat terutamanya di kawasan Jenin dan Tulkarm.

Kira-kira 24 peratus lagi maut dalam protes menyokong Gaza, manakala 7 peratus pula dibunuh selepas mereka didakwa me­nyerang tentera dan peneroka haram Yahudi.

Tentera Israel dan agensi pe­risikan Shin Bet melabel sebahagian daripada rakyat Palestin yang terbunuh sebagai ‘pengganas’ yang merancang menyerang Israel.

Orang awam dan tentera Israel dilaporkan membunuh seramai 439 rakyat Palestin di Tebing Barat pada tahun ini. Sementara itu, lebih 12,300 orang dibunuh Rejim Zionis di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu.

Dalam pada itu, sekurang-kurangnya dua penduduk Palestin terbunuh dalam serbuan terbaharu tentera Israel di Tebing Barat kelmarin, kata Pertubuhan Bulan Sabit Merah Palestin.

Seorang lelaki berusia 45 tahun maut di Jenin yang merupakan kubu kuat pejuang Palestin di Tebing Barat dan seorang lagi terkorban di kem pelarian Dheisheh dekat Bethlehem.

Menurut Bulan Sabit Merah Palestin, tentera Israel melakukan sekurang-kurangnya lima serbuan di bandar dan kem pelarian di seluruh Tebing Barat kelmarin.

Di utara Tebing Barat pada Sabtu lalu, lima pejuang sayap bersenjata pergerakan Fatah, pimpinan Presiden Mahmoud Abbas terbunuh dalam serangan udara Israel di kem pelarian Balata.

Kelmarin, seorang jurugambar AFP melihat tentera Israel menggeledah kem Balata di Nablus.

Sementara itu, Presiden Joe Biden mempertimbangkan larangan visa terhadap warga Israel yang menetap secara haram di Tebing Barat dan memanggil mereka ‘pelampau yang menye­rang orang awam’.

“Saya telah bertegas dengan pemimpin Israel bahawa keganasan ekstremis terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat mesti dihentikan dan mereka yang melakukan keganasan mesti bertanggungjawab.
“Amerika Syarikat bersedia untuk mengambil langkah sendiri termasuk mengeluarkan la­rangan visa terhadap pelampau yang menyerang orang awam di Tebing Barat,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI