JASIN – Tiga beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jasin, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki berhampiran sebuah taman permainan di Taman Muhibbah, Merlimau, dua minggu lalu.
Tertuduh, R. Murugan, 20, R. Arunasalam, 27, dan R. Magendran, 28, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Mazana Sinin.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membunuh Richard Edward, 30, di kawasan berhampiran taman permainan di Jalan Anum 3, Taman Muhibbah, Merlimau dalam daerah Jasin antara pukul 8 malam hingga 8.30 malam pada 13 Mei lalu.
Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Yusri, manakala Peguam L. Sherveen mewakili semua tertuduh dan mahkamah menetapkan 27 Julai depan untuk sebutan semula kes dan serahan laporan kimia serta patologi.
Kosmo! pada 14 Mei lalu melaporkan, seorang penganggur maut selepas ditikam dalam pergaduhan dipercayai berpunca daripada urusan jual beli rokok elektronik atau vape berperisa ‘mushroom’ di taman permainan Taman Muhibbah Merlimau, di sini. – KOSMO! ONLINE














