BERADA dalam liga sendiri! Predikat tersebut selayaknya didedikasikan buat Noah yang tidak keterlaluan dilabel sebagai antara band Indonesia paling berpengaruh di Malaysia.
Buktinya jelas dapat dilihat dengan selautan kehadiran peminat setia mereka pada Konsert Noah Menemaniku Kuala Lumpur pada 11 November lalu.
Seramai hampir 6,000 peminat membanjiri Mega Star Arena, Sungei Wang bagi menyaksikan band kegemaran mereka beraksi.
Sepertinya mereka yang hadir hanya menantikan sebuah hadiah perpisahan termanis daripada Noah sebelum kumpulan itu berehat panjang bermula awal tahun depan. Begitu juga yang penulis rasakan pada hari tersebut.
Ternyata, kotak harapan tersebut berjaya diisi dengan memori manis sepanjang dua jam menyaksikan persembahan daripada kumpulan yang dianggotai Ariel selaku vokal utama, Lukman (gitaris) dan David (keyboard) pada malam tersebut.

Mantap
Pada malam persembahan, Ariel membuka pentas menerusi lagu Topeng daripada album Taman Langit yang diterbitkan sekitar tahun 2003. Waktu itu, kugiran tersebut masih dikenali sebagai Peterpan.
Keterujaan penonton diteruskan dengan hidangan lagu Separuh Aku, Di Atas Normal, Walau Habis Terang dan Menemaniku.
Ariel juga sempat ‘terbang’ dengan menaiki belon panas ketika mempersembahkan lagu Di Balik Awan. Lagu berkenaan dihasilkan sepenuhnya oleh lelaki itu sekitar tahun 2007.
Seperti tidak dimamah usia, energi yang dipamerkan Ariel pada malam tersebut harus dilayangkan pujian jika hendak dibandingkan dengan persembahannya di Zepp Kuala Lumpur tahun lalu kerana waktu itu, dia mengalami masalah kesihatan.
Ketika mendendangkan lagu baharunya, Suara Dalam Kepala, penonton dikejutkan dengan kemunculan penyanyi rap popular Joe Flizzow di pentas.
Kehadiran Joe sebelum menutup babak pertama ibarat menyuntik nafas baharu sekali gus dilihat sebagai percubaan untuk ‘tersasar’ sedikit daripada identiti muzik Noah.
Memasuki segmen kedua, Ariel yang berada di pentas utama tiba-tiba mengejutkan ramai apabila muncul di kawasan tempat duduk penonton di bahagian atas sebelum meneruskan persembahan di ruangan berkenaan.

Menerusi persembahan di ruang kecil itu, Ariel mendendangkan Bintang Di Surga, Yang Terdalam, Tak Lagi Sama dan Semua Tentang Kita secara akustik.
Ariel pada malam tersebut sempat membuat hati peminat wanitanya cair apabila muncul dengan nyanyian romantis bagi lagu Ini Cinta bersama penonton bertuah.
Rata-rata penonton tidak berhenti bersorak dan menjerit dalam nada ‘cemburu’ apabila melihat renungan dan pelukan istimewa diberikan Ariel kepada seorang wanita yang dijemput naik ke pentas.
Lucu melihat dewan bergema dengan sorakan penonton yang turut mengharapkan perkara sama terjadi pada mereka.
Terus meninggalkan memori manis, Noah muncul dengan medley lagu-lagu popularnya iaitu Mimpi Yang Sempurna, Taman Langit dan Menghapus Jejakmu.
Lagu paling dinanti-nanti ramai, Ariel menutup persembahan dengan karya legenda mereka iaitu Mungkin Nanti.
Memang tiada lagu lain yang boleh menggantikan kehebatan Mungkin Nanti. Sehingga hari ini masih menjadi siulan ramai walaupun usia lagu tersebut sudah mencecah 20 tahun.
Sesekali terlihat ada peminat yang menyeka air mata ketika lagu berkenaan dimainkan. Begitulah penangan Mungkin Nanti yang mempunyai nilai sentimental dalam hidup peminat Noah.
Keseluruhannya, keputusan Noah ‘bercuti’ panjang adalah keputusan bertepatan memandangkan vokal dan stamina Ariel memerlukan jeda untuk mengembalikan suara serak basahnya.
Hal ini kerana nyanyian Ariel adakalanya kedengaran kurang jelas yang mungkin disebabkan masalah kesihatan, selain siri jelajah Noah tanpa henti di Indonesia.

Rehat
Kata Ariel atau nama penuhnya Nazril Irham, 42, sokongan yang diberikan peminat di Malaysia merupakan salah satu sebab Noah masih bertahan sehingga hari ini dan mampu muncul
dengan konsert dalam skala lebih besar.
“Lokasi tahun lalu terlalu kecil, jadi kami lakukan di tempat lebih besar.
“Namun, masih kelihatan kecil kerana sangat ramai yang hadir pada malam ini,” katanya.

Pahit tetapi itu yang harus ditelan peminat setia Noah apabila kumpulan itu mengumumkan mahu berehat panjang.
“Konsert ini akan akan jadi persembahan terakhir di Malaysia kerana kami akan bercuti panjang.
“Kami punya sejarah luar biasa di Malaysia. Jadi suka atau tidak, tetap harus terima,” tuturnya.
Mengimbau semula, Ariel pernah memaklumkan keputusan untuk berhiatus panjang diambil kerana sudah terlalu penat selepas 20 tahun mengerjakan kariernya tanpa henti.
“Kami penat selain ingin mengejar banyak hal lain yang masih belum ada kesempatan untuk dilakukan selama ini.
“Tempoh rehat akan bermula awal tahun depan masih belum ada tarikh tamat sehinggalah kami bersedia untuk kembali,” kongsinya menoktah bicara.















