fbpx

Sindrom pelupa anak pembunuh senyap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PENULIS pasti tiada seorang pun ibu bapa waras di dunia ini pernah terlintas dalam fikiran mereka untuk sengaja meninggalkan anak yang masih kecil bersendirian di dalam kereta.

Ia bagaikan mimpi ngeri yang sukar digambarkan, namun be­risiko terjadi kepada sesiapa sahaja.

Bagi yang mempunyai anak kecil terutamanya lebih daripada seorang, sindrom terlupa anak atau forgotten baby syndrome ini boleh berlaku kepada mana-mana ibu bapa yang mengalami perkara-perkara termasuk perubahan rutin dan keletihan.

Di tengah-tengah bebanan kerja yang semakin bertambah serta keletihan menguruskan kehidupan yang semakin mencabar, sesiapa sahaja berisiko menjadi alpa seketika sehingga membawa kepada insiden terlupa anak.

Menurut pakar psikiatri dan mantan Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr. Hazli Zakaria, keadaan itu kebiasaannya berlaku disebabkan adanya perubahan pada rutin harian yang menyebabkan ibu atau bapa tidak menyedari bahawa mereka meninggalkan anak di dalam kereta.

Katanya, ibu bapa bertindak demikian secara tidak sedar ke­rana kegagalan fikiran mereka untuk fokus kepada satu pekerjaan yang dilakukan dan dalam masa sama, otak ligat berfikir mengenai perihal lain.

“Contohnya, jika perkara rutin seperti menghantar anak ke taska terganggu oleh hal kecemasan lain yang muncul secara tiba-tiba, ibu bapa mungkin terlupa bahawa anak mereka berada di tempat duduk belakang kereta.

“Fokus mereka telah terganggu ketika itu, membuatkan mereka menyangka sudah menghantar anak ke taska misalnya. Ini seterusnya mengakibatkan mereka terus keluar dari kereta tanpa memandang ke arah tempat duduk belakang,” ujarnya.

Ditanya mengenai langkah yang boleh dilakukan untuk mencegah perkara itu daripada berlaku, Hazli berkata, ibu bapa perlu sentiasa memeriksa tempat duduk belakang setiap kali keluar dari kereta.

“Apabila membawa anak bersama-sama, pastikan anda meletakkan barangan milik anak di kerusi hadapan seperti botol susu atau lampin.

“Ia akan sentiasa mengingatkan anda kepada anak yang duduk di kerusi belakang setiap kali melihat barang-barang tersebut,” katanya.

Tambah Hazli, pasangan turut memainkan peranan penting dengan bertanya mengenai sama ada si suami atau isteri sudah menghantar anak di taska.

“Misalnya, pada hari tersebut adalah giliran anda untuk menghantar anak, pasangan boleh menelefon atau menghantar mesej untuk mengingatkan perkara itu. Ia boleh menyedarkan semu­la memori bekerja (working me­mory) anda, yang mungkin telah terganggu sebelumnya,” jelasnya.

Beberapa kes kematian bayi yang ditinggalkan di tempat duduk belakang kereta yang berlaku di negara kita baru-baru ini membuktikan bahawa sindrom terlupa anak sememangnya boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, pada bila-bila masa.

Ibu bapa terlibat bukan sahaja melalui episod duka dengan menangisi kehilangan si kecil dalam sekelip mata, bahkan mereka terpaksa pula berdepan kata-kata kecaman daripada masyarakat yang menuduh ibu bapa sebagai cuai.

Justeru, adalah penting agar masyarakat dapat memahami mengenai sindrom tersebut dan mempunyai pengetahuan bagi mencegah perkara itu daripada berlaku.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI