TAIPING – Sekretariat Solidariti bersama Dara, Amoi Kelat (DAK) memberi tempoh tujuh hari kepada kerajaan untuk menubuhkan satu pasukan petugas khas (task force) bagi menjalankan audit bebas terhadap tahap kesihatan, kebajikan dan persekitaran tiga ekor gajah di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun.
Jurucakap sekretariat, Neow Choo Seong berkata, tempoh itu disifatkan munasabah bagi membolehkan kerajaan menggunakan kuasa eksekutif untuk menggerakkan pasukan khas melibatkan pakar gajah, pakar veterinar, pakar zoologi serta pihak bebas yang berkecuali.
Menurut beliau, pasukan itu perlu diberi mandat rasmi untuk menjalankan lawatan audit ke Jepun bagi menilai sendiri keadaan sebenar tiga ekor gajah berkenaan termasuk aspek kesihatan fizikal, tingkah laku dan kesejahteraan mental.
“Kita yakin Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk mengarahkan penubuhan task force ini melalui saluran Kabinet dan tempoh tujuh hari yang diberikan adalah munasabah untuk arahan itu dilaksanakan,” katanya ketika ditemui pada perhimpunan aman Sekretariat Solidariti bersama DAK di Perkarangan Zoo Taiping disini hari ini.
Neow berkata, pasukan khas itu bukan bertujuan memberi tekanan kepada mana-mana pihak, sebaliknya bagi memastikan penilaian saintifik dan profesional dapat dilakukan secara bebas terhadap keadaan semasa DAK di Jepun.
Katanya, sekiranya hasil audit mendapati persekitaran di sana tidak lagi kondusif, kerajaan perlu bersedia melaksanakan pelan repatriasi bagi membawa pulang ketiga-tiga gajah tersebut ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah.
“Kalau selepas tujuh hari masih tiada tindakan, kami akan mempertimbangkan himpunan lebih besar di Kedutaan Jepun, Putrajaya atau Kuala Lumpur. Matlamat kami hanya satu iaitu memastikan DAK mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.-KOSMO! ONLINE














