PETALING JAYA – Sikap segelintir penunggang motosikal yang berkumpul beramai-ramai di bawah jejambat untuk berteduh daripada hujan menimbulkan kembimbangan orang ramai terhadap keselamatan mereka.
Menerusi satu hantaran di Threads oleh pengguna @Euphonadine, sebuah rakaman kamera papan pemuka (dashcam) memaparkan situasi cemas apabila lorong kiri jalan raya hampir dipenuhi deretan motosikal yang berteduh di bawah jejambat.
Pemilik hantaran itu bimbang tindakan berkenaan boleh mengundang kemalangan maut sekiranya kenderaan berat gagal menyedari kehadiran mereka di lokasi tersebut.
“Faham nak pakai baju hujan, tapi tolonglah cari tempat yang selamat dan jangan berkumpul macam itu,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut bersetuju bahawa tindakan berteduh di bawah jejambat sehingga menghalang laluan adalah berbahaya.
Seorang pengguna, @Raorallapilli berkata, jarak penglihatan yang kabur dan jalan licin ketika hujan meningkatkan risiko kemalangan jika pemandu kereta atau lori tidak peka dengan persekitaran.
“Pandangan kabur, jalan licin, kenderaan besar tak sempat brek nanti macam-macam (boleh jadi). Tolonglah menunggang jauh sikit untuk cari tempat berhenti yang lebih selamat atau pakai sahaja baju hujan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














