fbpx

K2

Ramai sudah lupa sejarah kezaliman Zionis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REJIM Zionis melakukan kekejaman terhadap penduduk Palestin. – Gambar fail

Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak baru-baru ini telah mengunjungi Baitul Maqdis bagi menyatakan solidariti bersama rejim Israel.

Lawatan ini dilatari dengan pembantaian tanpa henti dan tidak berkadaran oleh rejim Zionis terhadap orang awam di Genting Gaza sejak 7 Oktober lalu rentetan Operasi Taufan Al-Aqsa.

Ironinya, semasa berkunjung ke Baitul Maqdis, Sunak telah menginap di Hotel King David, tidak jauh daripada Kota Lama Al-Quds yang pernah menyaksikan peristiwa pengeboman dilakukan oleh pengganas dan pelampau Zionis pada 22 Julai 1946 iaitu menjelang berakhirnya penjajahan British di Palestin.

Dalam keganasan tersebut, hotel yang dibiayai sebahagian kos pembinaannya oleh Bank Negara Mesir itu telah rosak teruk. Pengganas Yahudi daripada kumpulan Irgun berjaya membunuh 91 nyawa orang tidak berdosa, sementara 45 orang lagi cedera.

Selain pengeboman hotel tersebut, Irgun juga bertanggungjawab melancarkan serangan pengganas ke atas perumahan, premis perniagaan, hospital, pasar dan pengangkutan awam yang telah mengorbankan ribuan nyawa warga Palestin antara tahun 1937-1939.

Tidak cukup dengan itu, antara tahun 1944-1947 selepas ketibaan lebih ramai pendatang Yahudi dari seluruh dunia, pengganas Irgun turut menyasarkan askar, polis dan pekerja British.

Mereka merekrut lelaki dan wanita, termasuklah remaja untuk bertindak ganas dan menyemai permusuhan berteraskan perkauman sehingga sanggup membunuh dengan cara tidak berperikemanusiaan.

Pada 1948, apabila British keluar dari Palestin, pengganas Irgun meneruskan keganasan ke atas kampung dan bandar milik warga Palestin.

Kawasan penempatan penduduk awam di Semenanjung Gaza terus menjadi sasaran pengeboman rejim Zionis. – Gambar fail

Situasi ini memaksa penduduk keluar dari kampung halaman dan menjadi pelarian bagi meneruskan kehidupan.

Selepas penubuhan negara Israel, pemimpin kumpulan pengganas Irgun, Menachem Begin telah dilantik sebagai Perdana Menteri Israel pada 1977.

Beliau dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan bersama Presiden Mesir Anwar Sadat setelah menandatangani perjanjian damai Camp David.

Perjanjian ini berjaya mengunci mulut negara-negara Arab daripada bertindak sebagai satu kumpulan tentera bagi mengawal keganasan berterusan yang dilakukan oleh rejim Zionis.

Ini merupakan sebahagian daripada bukti jelas betapa rejim Zionis ditubuhkan oleh kumpulan pengganas di atas pertumpahan darah warga Palestin.

Naratif moden yang dilakar oleh media Barat pula sentiasa meletakkan kesalahan kepada pihak pejuang Palestin, seolah-olah sengketa yang berlaku ini berpunca daripada serangan 7 Oktober lalu. Mereka cuba memadamkan sejarah hitam keganasan Zionis di bumi Palestin.

Lebih merunsingkan lagi, dalam kalangan warga muda Malaysia, ada segelintir pihak mempertikaikan dasar kerajaan yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Kumpulan ini seolah-olah ‘tidak berpihak’, tetapi jauh di sudut hati mereka mempersoalkan faktor pejuang Palestin melancarkan serangan ke atas rejim Zionis.

Ada juga yang bersimpati dengan ‘mangsa peperangan’ di pihak Israel, seolah-olah mereka menjadi mangsa dan menanggung kerugian terbesar dalam sengketa ini. Cara berfikir ini perlu dirawat segera. Kebergantungan kepada media sosial dan media Barat telah menyebabkan situasi ini berlaku.

Jadi, semua perlu mempelajari sejarah agar konteks sengketa dapat difahami dengan baik dan tidak melahirkan generasi cepat menghukum.

Maka tidak hairan, beberapa rakyat Malaysia yang beragama Islam telah menculik seorang warga Palestin, selain didakwa atas pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM250,000.

Sebelum itu, seorang sarjana Palestin telah dibunuh di Setapak, Kuala Lumpur oleh dua orang tali barut Zionis. Ini merupakan sebahagian daripada kesan apabila sejarah

Palestin tidak difahami dan sikap materialistik menguasai diri.

Sejurus selepas Operasi Taufan Al-Aqsa dilancarkan, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden telah mendakwa kononnya melihat gambar kanak-kanak Israel disembelih oleh pejuang Palestin.

Hasil fitnah keji ini, seorang kanak-kanak Muslim berumur 6 bulan yang menetap di Chicago, AS telah dibunuh dengan zalim setelah ditikam 26 kali.

Mangsa ditikam oleh seorang pelampau yang merupakan jiran kanak-kanak tersebut. Lebih sayu lagi, kanak-kanak itu berasal dari Tebing Barat berhijrah ke AS untuk mengelak keganasan Zionis.

Di saat ramai mendambakan perdamaian, ada kumpulan manusia yang memikirkan cara untuk menumpahkan darah manusia lain, tanpa perikemanusiaan.

 

Dr. Ahmad Irfan Ikmal Hisham ialah Pensyarah Kanan,
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI