fbpx

Sambutan Deepavali di Gua Musang meriah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kuil Sri Subramanyaswany di Bandar Gua Musang meriah dengan kehadiran penganut agama Hindu sejak awal pagi tadi. Foto oleh AIMUNI TUAN LAH/KOSMO!

GUA MUSANG – Lebih 100 keluarga komuniti India di daerah ini kembali menyambut Deepavali dengan meriah selepas dua tahun perayaan itu diraikan secara sederhana susulan pandemik Covid-19.

Tinjauan Kosmo! di Kuil Sri Subramanyaswany di sini mendapati, penganut Hindu mula memenuhi rumah ibadat itu seawal pukul 9 pagi untuk melakukan aktiviti keagamaan.

Bendahari kuil, K. Ramakrishnan, 67, berkata, sambutan kali ini kembali meriah apabila penganut Hindu dapat menjalani semula rutin perayaan di kuil.

Menurutnya, lebih meriah apabila sambutan hari ini turut melibatkan warga asing yang bekerja di ladang.

“Selain itu ada juga yang datang dari Selangor dan Pulau Pinang semata-mata ingin meraikan Hari Deepavali di kawasan kuil.

“Kuil ini sudah ditubuhkan sejak lebih 20 tahun lalu dan menjadi tumpuan penduduk tempatan untuk menjalani upacara sembahyang dan memohon rahmat daripada tuhan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Seorang pengunjung S. Jegan, 38, berkata, dia bersama ibu dan adik-beradiknya datang ke kuil bersama-sama untuk memeriahkan Deepavali.

Katanya, selain sembahyang dan bermain mercun, kebanyakan mereka turut membawa makanan sendiri yang dibuat di rumah untuk makan bersama-sama pengunjung lain di kawasan kuil.

“Hari Deepavali merupakan masa untuk kami semua berkumpul serta merapatkan hubungan antara satu sama lain selepas hampir setahun tidak berjumpa dan sibuk dengan urusan harian.

“Kami berharap Hari Deepavali menjadi titik permulaan yang baharu dan bahagia di dalam hidup,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI