KLUANG – Sambutan Hari Peneroka Felda Negeri Johor yang sebelum ini dibatalkan akan diteruskan dalam skala lebih sederhana menerusi Majlis Penyerahan Hak Milik Peneroka Felda melibatkan 210 penerima geran hak milik.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Zahari Sarip berkata, majlis tersebut dijadual berlangsung pada 23 Jun ini bermula pukul 2.30 petang di Dewan Dato’ Onn, Rumah Komuniti Parlimen Sembrong, Taman Sri Lambak, di sini.
“Walaupun majlis ini diadakan lebih sederhana, ia tetap akan berlangsung dengan penuh penghormatan. Yang lebih penting, impian dan penantian 210 keluarga peneroka akhirnya menjadi kenyataan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Majlis Penyerahan Hak Milik itu akan disempurnakan sendiri oleh Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi sebagai bukti komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menghargai jasa dan pengorbanan warga Felda.
Sebelum ini, Sambutan Hari Peneroka Felda Negeri Johor yang dijadualkan berlangsung pada 20 dan 21 Jun di Felda Ulu Belitong, dekat sini, dibatalkan susulan arahan pihak pengurusan Felda Kebangsaan. – KOSMO! ONLINE














