fbpx

Mahkamah: Bapa tiga anak terlepas hukuman mati, dijel 14 tahun, 6 sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Nazarudin dibawa pihak penjara di Mahkamah Persekutuan hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/Kosmo!

PUTRAJAYA – Seorang bapa tiga anak terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan di sini hari ini memerintahkan lelaki itu dipenjara 14 tahun dan enam sebatan kerana memiliki senjata api dalam kes cubaan merompak ahli perniagaan warga Singapura 10 tahun lalu.

Keputusan sebulat suara dibuat panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim selepas Mohd. Nazarudin Khairudin, 34, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dikemukakan pihak pendakwaan dalam rayuan akhir.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Amril Johari menawarkan pertuduhan pilihan iaitu memiliki senjata api di bawah Seksyen 8 (Penalti Lebih Berat 1971).

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkapan pada 2013, namun hukuman sebatan pula bermula tarikh sabitan hari ini.

Mengikut pertuduhan asal, Mohd. Nazarudin bersama rakan sejenayah, Azman Aini, 39, yang maut didapati mengetahui bahawa lelaki itu memiliki senjata api dan melepaskan tembakan terhadap Lee Siaw Khie Jane dengan niat menyebabkan kematian atau mencederakannya.

Kesalahan dilakukan di Jalan Middle, Kampung Baru Sungai Buloh pada pukul 3.40 petang, 22 April 2013 mengikut Seksyen 3A Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati.

Namun bagi pertuduhan pilihan, Mohd. Nazarudin didakwa memiliki senjata api pada tempat waktu dan tarikh sama yang mana perayu didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan.

Dalam prosiding hari ini, dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Zabariah Mohd. Yusoff dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal manakala Mohd. Nazarudin diwakili peguam Azamuddin Abd. Aziz.

Pada 7 Januari tahun lalu, Mahkamah Rayuan di sini mengekalkan hukuman mati yang dijatuhkan terhadap Mohd. Nazarudin atas kesalahan berkaitan pemilikan senjata api oleh rakannya.

Ketika itu, panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hanipah Farikullah, sebulat suara menolak rayuan Mohd Nazarudin ketika itu selaku perayu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 28 Jun 2018, yang menjatuhkan hukuman mati ke atasnya.

Hakim Hanipah berkata, pada hemat mahkamah, isu utama yang dibangkitkan dalam rayuan ini adalah sama ada pertuduhan cacat atas dua perkara iaitu, berkaitan perkataan bersama-sama dengan seorang lain yang sudah meninggal dunia dan penggunaan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, perayu dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah atas pertuduhan sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI