GEORGE TOWN – Lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) dari universiti awam (UA) kini dikatakan menunggu lama, lebih setahun untuk mendapat tempat mengajar sehingga terpaksa bekerja sementara dengan pendapatan serendah RM1,600 sebulan bagi menampung kehidupan.
Seorang calon guru yang hanya mahu dikenali sebagai Anip, 25, berkata, lebih setahun dia menantikan giliran untuk ditemu duga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan sepatutnya ia dilaksanakan pada September lalu.
Dakwa lepasan ISMP (Seni) itu, dia terpaksa berdepan tempoh menunggu yang agak lama disebabkan masalah sistem pihak berkenaan selain dikatakan bukan penerima biasiswa Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Bagi rakan-rakan universiti yang juga penerima biasiswa kerajaan, mereka sudah pun diserap mengajar di sekolah-sekolah kerajaan dan tidak bagi kami, bukan penerima biasiswa.
“Disebabkan itu, saya mengambil jalan bekerja sementara sebagai despatch di sebuah premis telekomunikasi dengan gaji kasar RM1,600 sebulan, sementara menunggu keputusan temu duga nanti,” katanya di sini, semalam.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan mengenai kerisauan ibu bapa mengenai prestasi anak-anak apabila di sekolah tiada guru bahasa Inggeris dan Matematik.
Perkara itu didakwa berlaku kerana kekosongan itu lambat diisi sedangkan graduan pendidikan lambat dimaklumkan penempatan mereka.
Beritahu Anip lagi, ketika ini, dia juga terpaksa menanggung tiga adiknya yang masih bersekolah, manakala ibunya bekerja sebagai penjual kuih.
“Macam mana pun saya tetap nak jadi cikgu, sebab kerjaya ini juga direstui dan diminati arwah bapa yang baru meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru September lalu.
“Kecewa sebab terpaksa menunggu lebih setahun, selepas tamat pengajian Ogos tahun lalu.
“Kawan-kawan lain yang sudah mula mengajar di beberapa sekolah di negara ini pun ada beritahu tentang kekurangan guru tetap di sekolah mereka terutama subjek teras.
“Ada juga guru bersalin dalam tempoh lama dan masih tiada pengganti,” jelasnya.














