HULU TERENGGANU – Seorang peniaga ikan dan sayur-sayuran tidak menyangka wanita berjubah yang menumpang van miliknya pada awal pagi Rabu lalu rupa-rupanya suspek bagi satu kes pembunuhan melibatkan usahawan tudung.
Lelaki berusia 58 tahun yang enggan dikenali itu mendakwa, dia menumpangkan wanita itu di Batu 23, Jalan Kuala Berang pada pukul 3 pagi kerana menyangkakan suspek merupakan mangsa kemalangan yang memerlukan pertolongan.
Dakwanya, kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan ke Pasar Borong Gong Pauh di Kuala Terengganu untuk mengambil bekalan barang jualan.
“Saya memperlahankan van apabila ternampak sebuah kereta Honda Jazz seperti terbabas di tepi jalan di lokasi kejadian.
“Seorang wanita (suspek) tiba-tiba keluar dari kereta itu dalam keadaan terketar-ketar sebelum memasuki van saya. Wanita itu meminta pertolongan untuk menghantarnya ke balai polis berhampiran bagi membuat laporan kemalangan jalan raya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Lelaki itu mendakwa, dia kemudiannya cuba menenangkan wanita yang berpakaian labuh seperti jubah itu dengan memintanya mengucap istighfar berkali-kali.
Dakwanya lagi, wanita tersebut bagaimanapun mengubah fikiran sebelum meminta untuk dihantar pulang ke rumahnya di Wakaf Tapai, Marang.

“Dia masuk sekejap ke dalam rumah untuk mengambil kunci kereta sebelum meminta saya menghantar semula ke Bukit Sawa, Marang bagi tujuan mengambil kenderaan lain.
“Sebaik menurunkan wanita itu di Bukit Sawa, saya meneruskan perjalanan ke Pasar Borong Gong Pauh bagi mengambil bekalan ikan dan sayur-sayuran,” katanya lagi.
Lelaki itu mendakwa, dia hanya mengetahui sesuatu tidak kena apabila melihat ramai anggota polis berkumpul di lokasi kereta Honda Jazz milik wanita yang ditumpangkannya.
Datuk kepada tujuh cucu itu berkata, dia terkejut selepas dimaklumkan pula mengenai penemuan mayat di dalam longkang berhampiran kereta Honda Jazz itu.
“Saya kemudiannya diminta tampil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu di sini kerana wanita yang saya tumpangkan itu disyaki terlibat dalam kes pembunuhan tersebut.
“Terkejut saya kerana sepanjang perjalanan, wanita itu lebih banyak mendiamkan diri. Mungkin sebab pencahayaan dalam van tidak begitu terang, saya juga tidak perasan apa-apa mencurigakan termasuk kesan darah pada dia (suspek),” dakwanya.
Lelaki tersebut mendakwa, dia pada mulanya menyangkakan wanita itu mungkin berbalah dengan suaminya sehingga bertindak keluar rumah pada awal pagi sebelum mengalami kemalangan di lokasi kejadian.
Dakwanya, dia juga tidak menyangka niat baiknya yang mahu menumpangkan wanita disangka mangsa kemalangan menyebabkan dia kini menjadi saksi bagi satu kes pembunuhan.
Terdahulu, Kosmo! kelmarin melaporkan mengenai penemuan mayat seorang wanita dalam keadaan tertiarap dengan 15 kesan tikaman pada tubuhnya di dalam longkang berhampiran
Pejabat Kesihatan Hulu Terengganu di Batu 23, Jalan Kuala Berang, Hulu Terengganu.
Ketua Polis Terenggganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, siasatan awal percaya, mangsa yang juga pesara kerajaan itu dilanggar suspek yang juga rakan kongsinya dengan kereta Honda Jazz sehingga tercampak ke dalam longkang sebelum ditikam dengan senjata tajam dipercayai pisau.
“Setakat ini, motif pembunuhan dipercayai disebabkan suspek tidak berpuas hati agihan keuntungan perniagaan tudung dan pakaian mereka,” katanya.














