fbpx

Mahkamah: Keputusan tolak saman RM10 juta Apandi Ali terhadap Kit Siang kekal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Apandi (kiri) dan Kit Siang (kanan).

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnah RM10 juta dikemukakan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadap Penasihat DAP, Tan Sri Lim Kit Siang berhubung artikel berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail selepas menolak rayuan Mohamed Apandi selaku perayu selain rayuan tersebut tiada merit.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk M.Gunalan dan Hakim Datuk Azmi Ariffin.

“Perayu (Mohamed Apandi) diperintahkan membayar kos RM100,000 kepada responden (Kit Siang),” katanya.

Pada 23 Mei 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah Mohamed Apandi terhadap veteran DAP itu kerana mendakwa ahli politik itu telah memfitnahnya dalam artikel mengenai skandal 1MDB.

Dalam samannya yang difailkan pada 5 Julai 2019, Mohamed Apandi mendakwa pada 6 Mei 2019, Kit Siang menulis dan menyebabkan artikel bertajuk “Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity” disiarkan portal berita Malaysiakini.

Mohamed Apandi mendakwa perkataan berunsur fitnah dalam artikel itu membawa maksud bahawa beliau terbabit dalam jenayah dan bersubahat dalam skandal kewangan 1MDB, seorang individu yang tidak bermoral dan berintegriti, tidak beretika serta menyalahgunakan kuasanya ketika menjadi Peguam Negara.

Mohamed Apandi yang menyandang jawatan Peguam Negara dari 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018, mendakwa perkataan fitnah itu tidak benar dan ditulis dengan niat mencemarkan imej serta kredibilitinya sebagai bekas Peguam Negara bagi meraih publisiti murahan.

Beliau menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta ganti rugi am RM10 juta, perintah injunksi bagi menghalang Lim dan ejennya daripada terus menerbitkan perkataan yang didakwa berunsur fitnah dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Mohamed Apandi memfailkan rayuan itu pada 24 Mei 2022. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI