fbpx

Tambat ringgit tidak selesai masalah – Steven Sim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Steven Sim. Foto oleh ISKANDAR ISHAK/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan tambatan ringgit atau kawalan pertukaran mata wang asing seperti yang pernah dilakukan semasa negara menghadapi Krisis Kewangan Asia pada tahun 1998.

Ini kerana kata Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong berkata ia bukan merupakan penyelesaian yang tepat untuk cabaran yang dihadapi pada masa ini.

Malah katanya, ekonomi dan sistem kewangan Malaysia berada pada kedudukan yang lebih baik pada masa kini untuk menghadapi turun naik pasaran kewangan global dan pergerakan kadar pertukaran.

Jelasnya, sekiranya kerajaam melaksanakan langkah itu, Malaysia akan hilang kebebasan dasar monetari dan perlu mengikut kadar faedah mata wang yang menambat ringgit.

“Contohnya, jika ringgit ditambat dengan dolar AS, kita perlu menaikkan kadar faedah selari dengan kadar faedah di AS. Tindakan ini akan memberi tekanan kepada kos pembiayaan yang lebih tinggi kepada rakyat.

“Bagi mengekalkan tambatan, kita akan memerlukan rizab antarabangsa yang besar. Jika tidak, kita terpaksa memperkenalkan kembali langkah kawalan modal untuk mencegah dan mengatasi tekanan spekulatif terhadap ringgit, ” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad (PN- Machang) yang bertanya sama ada Kerajaan melalui Bank Negara (BNM) bercadang untuk menambat nilai ringgit pada satu-satu nilai seperti yang dilakukan pada tahun 1999 kerana kadar ringgit pada ketika ini rendah berbanding US Dollar.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, sekiranya langkah ini diperkenalkan sekarang, kesan negatifnya terhadap keyakinan pelabur akan melibatkan kos yang sangat tinggi dan boleh menjejaskan aliran modal kerana Malaysia mempunyai pasaran modal yang jauh lebih besar berbanding tahun 1998.

“Oleh yang demikian, sebagai bank pusat yang bertanggungjawab terhadap kestabilan pasaran kewangan dan mata wang, BNM akan memastikan pelarasan ringgit berada dalam keadaan teratur.

“Bagi menangani risiko daripada pergerakan mendadak nilai pertukaran ringgit berbanding dolar AS, Kerajaan melalui BNM akan terus mengurus risiko
daripada perkembangan domestik dan luaran serta bersedia untuk menggunakan instrumen dasar operasinya bagi memastikan keadaan pasaran yang teratur.

Tambah beliau, kenaikan dolar AS juga tidak mempengaruhi akan hutang negara dan ia masih terkawal kerana kebanyakan hutang dalam pasaran domestik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI