fbpx

Kes mahkamah ganggu urusan rasmi hidup – Sharnaaz Ahmad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIDAKLAH mengganggui urusan karier dan harian namun Sharnaaz mengakui kes mahkamah yang berlanjutan sejak tahun lau banyak menjejaskan urusan perniagaan, endorsemen dan perbankannya.

KUALA LUMPUR – Pelakon Sharnaaz Ahmad mengakui representasi menggugurkan pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan yang belum diputuskan sejak setahun lalu mengganggu urusan rasminya.

Walaupun ralat, katanya dia tetap akur terhadap undang-undang selain berharap keputusan representasi yang dihantar kepada Jabatan Peguam Negara hanya dapat diperoleh pada 17 November ini.

“Dia (kes) tak ganggu tugasan harian dan kerjaya saya, tetapi mengganggu perjalanan dari segi perniagaan, perbankan dan endorsemen dengan syarikat lain.

“Memang sedikit sebanyak mengekang kelancaran urusan rasmi saya yang tetap bersangkut paut dengan hal kerja. Agak ralat tapi nak buat macam mana, saya kena ikut undang-undang.

“Dah setahun lebih (tunggu). Ada sebab saya perjuangkan yang saya tak bersalah. Tapi tak mengapa saya okey saja,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di sini.

Sharnaaz, 38, diiringi peguamnya, Mohamed Baharuden Mohamed Ariff dan Wan Azmir Wan Majid bagi mengetahui status representasi pengguguran pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium, tahun lalu.

Mahkamah Majistret, di sini, hari ini menetapkan 17 November ini bagi mengetahui status permohonan berkenaan.

Menurut Sharnaaz lagi, dia juga perlu mengikuti proses yang sudah digariskan biarpun kesnya boleh dikategorikan ringan.

“Ada beberapa prosedur lain yang kita kena patuh, ada kes lain, ada birokrasi. Macam tadi kalau dapat keputusan representasi saya bayar kompaun dan balik.

“Kalau boleh saya pun tak nak benda ini berlaku, tapi mungkin pada masa depan saya kena lebih faham keadaan,” ujarnya.

Pelakon Juvana: Perhitungan Terakhir itu enggan mempedulikan skeptikal masyarakat jika ada yang masih menganggap dirinya sebagai lelaki baran.

Malah, bapa kepada seorang cahaya mata itu sudah sedari dulu sedia maklum persepsi hitam pihak tertentu terhadap dirinya.

“Sejak dari dahulu lagi saya dah biasa dicop macam tu. Biarlah, saya tak peduli,” katanya ringkas.

Januari lalu pemilik nama sebenar sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menumbuk seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium pada 16 Jun 2022.

Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Insiden berkenaan berlaku selepas seorang lelaki yang mahu menghantar minyak masak dilarang memasuki kawasan kondominium oleh pengawal keselamatan bangunan tersebut sehingga berlaku pertengkaran antara mereka.

Sharnaaz yang menyaksikan kejadian tersebut dikatakan masuk campur sebelum mangsa mendakwa ditumbuk sehingga lebam pada bahagian muka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI