BATU PAHAT – Seorang guru wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mencederakan murid perempuan dengan membaling pemadam papan putih hingga lebam dekat mata.
Tertuduh, Fakhriah Bustani, 47, yang didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap murid berusia tujuh tahun di sebuah sekolah kebangsaan di Tongkang Pecah, dekat sini, 9 pagi, 1 April lalu.
Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam, Normaahani Rais daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dan kes disebut semula pada 21 Ogos ini untuk serahan dokumen.
Berdasarkan laporan, mangsa pulang ke rumah dan memberitahu seorang guru yang juga tertuduh membaling pemadam papan putih ke arah hingga terkena berdekatan mata.
Siasatan polis mendapati, tertuduh bertindak sedemikian kerana mendakwa mangsa tidak memberi tumpuan sepenuhnya semasa pembelajaran dalam kelas.
Akibatnya, pemadam terbabit terkena bawah mata kanan hingga cedera. Pemeriksaan pegawai perubatan turut mengesahkan kecederaan dialami mangsa disebabkan perbuatan tertuduh.-KOSMO! ONLINE














