fbpx

2 kes baharu cacar monyet direkodkan dalam negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Sebanyak dua kes baharu cacar monyet atau mpox dilaporkan melibatkan warga tempatan pada 21 Oktober dan 24 Oktober lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif sehingga kini berhubung penyakit berkenaan sebanyak empat kes.

Katanya, kedua-dua kes baharu ini tiada hubungkait dengan kes pertama dan kes kedua yang dilaporkan sebelum ini pada Julai lalu.

Jelasnya, seorang lelaki warga tempatan yang merupakan kes ketiga jangkitan mpox menunjukkan gejala demam dan lepuh pada 6 Oktober lalu sebelum disahkan positif 21 Oktober lalu.

“Pada 6 Oktober lalu juga, seorang lelaki warga tempatan merupakan kontak rapat kepada kes ketiga menunjukkan gejala yang sama dan disahkan positif pada 23 Oktober lalu.

“Kedua-dua kes menafikan mempunyai sejarah lawatan ke luar negara dalam tempoh 21 hari sebelum gejala timbul,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua kes sedang menjalani isolasi di rumah dan berada dalam kesihatan yang stabil.

“Semua kontak bagi kes ketiga dan keempat telah dikenalpasti dan tiada mengalami gejala jangkitan mpox. Status kesihatan mereka juga sedang dipantau,” ujarnya.

Dr. Muhammad Radzi turut meminta agar semua pengamal perubatan untuk peka terhadap individu dengan gejala ruam dan lepuh yang datang mendapatkan rawatan, terutamanya dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi (key population).

“Sejarah risiko kontak rapat dengan individu bergejala jangkitan mpox perlu didapatkan. Bagi kes yang disyaki mpox, swab lepuh, swab oral dan sampel darah atau serum perlu dihantar ke makmal yang menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan virus mpox.

“Kes disyaki mpox hendaklah dinotifikasi ke Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran melalui Sistem e-Notifikasi agar siasatan lanjut serta langkah kawalan dapat dijalankan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI