fbpx

Mahkamah: Peguam mohon pernyataan saksi penting kes rasuah Guan Eng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Guan Eng ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh AMIN AZMAN/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini mendengar permohonan pihak pembelaan untuk mendapatkan salinan pernyataan Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli yang direkodkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes rasuah Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, G. Gnanaraja.

Peguam Gobind Singh Deo memberitahu, kedua-dua dokumen itu diperlukan bagi membolehkan pihaknya memulakan prosiding mencabar kredibiliti Zarul Ahmad yang juga saksi pendakwaan ke-23 (SP23).

Gobind berhujah, pihak pembelaan berhak menyoal pengarah syarikat itu berhubung isu wang RM2 juta masing-masing untuk Guan Eng dan Najib yang diberikan melalui Gnanaraja selaku orang tengah pada 2017.

Hujahnya, pihak pembelaan memohon kedua-dua pernyataan itu atas alasan wujud percanggahan yang material yang memberi kesan kepada perbicaraan Guan Eng.

Gobind membayangkan bahawa Zarul Ahmad menipu kerana pada perbicaraan lalu, mahkamah diberitahu oleh saksi-saksi lain bahawa penyerahan hanya melibatkan wang RM2 juta, bukan RM4 juta.

Semalam, Zarul Ahmad ketika memberi keterangan berkata, wang RM2 juta dibayar melalui cek kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berhubung pelaksanaan projek terowong dasar laut dan jalan utama di negeri itu.

Ujarnya, wang RM2 juta lagi diberi secara tunai kepada bekas Perdana Menteri bertujuan menutup siasatan SPRM terhadap syarikatnya.

Beliau ketika itu pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZCSB) iaitu syarikat yang dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut Pulau Pinang. CZCSB dahulunya dikenali sebagai Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG).

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon agar permohonan itu ditolak atas alasan ia dikemukakan tanpa mengikut prosedur yang betul.

Beliau berhujah, permohonan itu tidak berasas kerana hanya bertujuan untuk `memancing maklumat’ daripada pernyataan Zarul Ahmad, walhal sebarang maklumat boleh diperolehi dengan menyoal balas saksi berkenaan.

“Permohonan pihak pembelaan pada peringkat ini adalah bersifat pramatang kerana ia hanya bersandarkan kepada keterangan Zarul Ahmad bahawa beliau telah membuat pembetulan dalam pernyataannya kepada SPRM.

“Apa yang pihak pembelaan mahukan ialah untuk meneliti pernyataan itu bagi memastikan sama ada pembetulan telah dibuat, bukan untuk prosiding mencabar kredibiliti saksi,” ujar Wan Shaharuddin.

Sementara itu, TPR Mahadi Abdul Jumaat turut berhujah agar permohonan itu ditolak atas alasan pernyataan itu diklasifikasikan sebagai dokumen istimewa hasil daripada komunikasi di bawah akta keterangan.

Selepas mendengar penghujahan pihak-pihak, Hakim Azura Alwi memaklumkan beliau perlu membaca dan menelitinya serta menetapkan 2 November ini bagi memutuskan permohonan tersebut.  – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI