fbpx

Edisi al-Quran mushaf Palestin dilancar, sasar kutip dana RM3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad ketika berucap pada Kempen Infak dan Wakaf 1 Juta Al-Quran di Putrajaya tadi. Foto oleh FAISOL MUSTAPA/KOSMO!

PUTRAJAYA – Yayasan Restu menyasarkan kutipan dana sehingga RM3 juta menerusi cetakan 30,000 naskhah edisi khas al-Quran Mushaf Palestin dengan terjemahan Bahasa Inggeris.

Edisi khas mushaf Palestin itu diterbitkan demi semangat dan solidariti terhadap rakyat Palestin yang kini ditindas dengan tidak berperikemanusiaan oleh rejim Israel.

Majlis pelancaran mushaf itu disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan yang turut dihadiri Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Abdul Latif Mirasa.

Ahmad berkata, sumbangan dana wakaf bernilai RM100 senaskhah itu akan dialirkan seratus peratus untuk menyokong umat Palestin di Gaza dalam aspek perubatan dan makanan.

Menurutnya, sebaik diinfak sepenuhnya, semua 30,000 naskhah al-Quran edisi mushaf Palestin itu akan diterbangkan ke Palestin untuk diedarkan kepada penduduk negara itu.

“Al-Qur’an Mushaf Palestin ini memayungi identiti seni Palestin di setiap juzuknya yang mewakili setiap daerah di negara itu.

“Antara rakan strategik yang bekerjasama dalam penghasilan mushaf ini ialah Palestinian Cultural Organization Malaysia (PCOM),” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan edisi khas mushaf itu di Kompleks Nasyrul Quran di sini, hari ini.

Katanya, dana yang diperolehi daripada infak al-Quran ini akan digunakan bagi menggerakkan usaha ke arah pembinaan Kompleks Masjid Saidina Ali yang merangkumi Pusat al-Quran dan al-Hadith di Gaza.

Pada masa sama, jelasnya, beliau berterima kasih dengan inisiatif diperkenalkan Yayasan Restu ini dan menyeru yayasan-yayasan lain untuk melakukan perkara sama.

“Yayasan-yayasan yg lain dan badan bukan kerajaan (NGO) lain dialu-alukan dan tidak ada siapa yang menghalang asalkan betul tujuannya serta matlamatnya sampai,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI