UMUM mengetahui bahawa zakat merupakan salah satu rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim setelah memenuhi syarat tertentu.
Malah, zakat menjadi satu instrumen penting dalam menangani jurang sosial dalam masyarakat, di mana ia diagihkan kepada lapan golongan asnaf.
Dalam konteks ini, institusi pengurusan zakat memikul amanah yang besar bagi memastikan setiap sen yang diuruskan sampai kepada yang berhak secara telus.
Namun begitu, perbincangan tentang integriti dalam pengurusan zakat semakin mendapat perhatian, khususnya apabila masyarakat semakin peka terhadap isu ketelusan dan keberkesanan agihan.
Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak, Universiti Putra Malaysia, Haris Dahlan berkata, dalam hal ini kepercayaan masyarakat tidak datang sendiri, tetapi terbina apabila urusan dilaksanakan secara konsisten dan mematuhi peraturan serta prinsip syariah dengan baik.
Menurutnya, aspek kepatuhan syariah menjadi asas paling utama dan dalam pengurusan zakat, setiap keputusan bukan boleh dibuat secara sembarangan.
“Penentuan kelayakan asnaf, pengiraan had al-kifayah dan reka bentuk skim bantuan perlu melalui penelitian
yang rapi.
“Ini penting bagi memastikan zakat benar-benar sampai kepada golongan yang berhak seperti fakir, miskin dan mereka yang memerlukan sokongan untuk keluar daripada kitaran kemiskinan,” katanya.
Tambahnya, tanpa pematuhan syariah yang jelas, pengurusan zakat berisiko kehilangan asasnya sebagai satu ibadah.
Lebih membimbangkan, ia boleh menjejaskan keyakinan para pembayar zakat yang mengharapkan dana mereka diuruskan dengan penuh amanah.
Justeru, setiap proses perlu berpandukan fatwa dan garis panduan yang telah ditetapkan agar tidak tersasar daripada tujuan sebenar zakat.
Dalam masa yang sama, Haris menjelaskan, kepatuhan dari sudut tadbir urus juga memainkan peranan penting dalam membina kepercayaan masyarakat.
“Ketelusan perlu diterjemahkan melalui amalan seperti audit berkala, pelaporan kewangan yang terbuka dan pemantauan dalaman yang berkesan.
“Apabila sistem pengurusan jelas dan boleh dipertanggungjawabkan, ruang untuk ketirisan dapat diminimumkan,” jelasnya.
Lebih penting, ia membantu menepis persepsi negatif yang kadangkala timbul terhadap institusi zakat.
Dalam era maklumat tanpa sempadan, satu kelemahan kecil boleh memberi kesan besar kepada reputasi dan pematuhan kepada prinsip tadbir urus yang baik bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan.
Pengurusan zakat adalah amanah yang besar, melibatkan kepercayaan manusia dan tanggungjawab kepada Allah SWT.
Setiap keputusan yang dibuat memberi kesan langsung kepada kehidupan penerima yang bergantung harap kepada bantuan tersebut.
Haris berkata, kekuatan sebenar institusi zakat terletak pada keupayaannya mengurus amanah dengan penuh integriti.
“Pematuhan yang konsisten bukan sahaja memastikan dana diuruskan dengan betul, malah menjadi asas kepada kepercayaan masyarakat.
“Apabila kepercayaan ini kukuh, zakat akan terus berfungsi sebagai instrumen penting dalam membina masyarakat yang lebih seimbang, adil dan sejahtera,” ujarnya.
Kesimpulannya, umat Islam wajib membayar zakat dan sebaiknya bayarlah kepada pihak berkuasa.














