fbpx

Bomoh mengaku salah cabul remaja konon mahu buang pendamping

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini. - foto oleh SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Seorang bomoh berdepan hukuman penjara 80 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul seorang remaja perempuan kononnya bagi membuang ‘pendamping’ daripada tubuh mangsa, sejak September lalu.

Hakim Mohd. Sabri Ismail bagaimanapun menangguhkan hukuman terhadap tertuduh, Zemi Rahim, 50, pada 3 November depan bagi menunggu laporan fakta kes daripada pihak pendakwaan.

Mengikut kesemua empat pertuduhan, tertuduh yang juga seorang jurulatih Muay Thai didapati telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dan 2 bulan.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di kawasan semak di Jalan Taman Malim Jaya dan perindustrian berdekatan sebuah pasar raya di Cheng dalam daerah Melaka Tengah antara awal September sehingga 9 Oktober lalu.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen kanun yang sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, bagi setiap pertuduhan.

Terdahulu, tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Kosmo! kelmarin melaporkan seorang lelaki yang mendakwa dirinya bomoh ditahan polis selepas dipercayai memperkosa remaja perempuan berusia 16 tahun kononnya ingin membuang ‘pendamping’ atau makhlus halus pada tubuh mangsa.

Hasil siasatan awal pihak polis mendapati, kejadian bermula selepas suspek berusia 50 tahun muncul di kedai makan ibu saudara mangsa di Batu Berendam dan mendakwa premis berkenaan mengalami gangguan sihir.

Dia kemudian menawarkan untuk membantu membuang ilmu hitam tersebut dan telah membawa mangsa dan keluarganya ke Malim bagi tujuan berubat.

Lelaki itu bagaimanapun meminta ibu dan bapa saudara mangsa untuk keluar membeli makanan sebelum merogol remaja berkenaan.

Susulan kejadian itu, lelaki itu dikatakan kerap datang ke rumah keluarga berkenaan mendakwa kononnya ingin membuang pendamping pada tubuh mangsa.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI