fbpx

Susun kaedah subsidi supaya harga ayam, telur tidak bebankan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi Zainol.

GEORGE TOWN – Kerajaan Pusat diharapkan dapat menyusun kaedah subsidi yang paling efektif supaya pembatalan harga kawalan ayam dan telur tidak membebankan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah (B40).

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan, Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol berkata, hal ini juga untuk memastikan subsidi kerajaan tepat disampaikan kepada golongan yang memerlukan.

“Kerajaan telah membuat keputusan untuk mengekalkan subsidi ayam dan telur tetapi kawalan harga untuk kedua-duanya akan dibatalkan.

“Langkah ini penting untuk tidak merugikan penternak, seterusnya membolehkan pasaran tempatan dapat berfungsi semula dengan bebas agar keterjaminan bekalan ayam dan telur di pasaran terjamin.

“Pada masa sama, saya berharap agar kerajaan menyusun kaedah subsidi yang paling efektif dalam masa terdekat supaya pembatalan harga kawalan ayam dan telur tidak membebankan golongan B40 kerana kedua-dua ayam dan telur merupakan sumber protein paling murah untuk mereka,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kawalan harga sementara bagi telur dan ayam yang ditetapkan sebelum ini akan dilepaskan supaya pasaran tempatan boleh berfungsi dengan bebas dalam memastikan keterjaminan bekalan tersebut di pasaran.

Menurut Fahmi, menerusi pembentangan Belanjawan 2024 itu, selain memastikan keterjaminan makanan untuk rakyat, kerajaan juga menunjukkan komitmen dalam memperkasakan agenda kebajikan golongan pesawah dan nelayan.

“Peruntukan bagi menyalurkan pelbagai bentuk subsidi dan insentif kepada pesawah dan nelayan telah meningkat RM600 juta ke jumlah RM2.6 bilion. Sehubungan itu, pengumuman harga lantai belian padi yang naik daripada RM1,200 kepada RM1,300 per metrik tan pasti dapat membantu meningkatkan pendapatan pesawah,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI