fbpx

Lelaki Bangladesh antara tiga berdepan hukuman mati, edar dadah 4.7kg

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH, Shahinur (depan), Kai Xian (tengah) dan Yi Hui (belakang) dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru, di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah, minggu lalu. - RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!

JOHOR BAHRU – Tiga sekawan termasuk seorang warganegara Bangladesh dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah, minggu lalu.

Tertuduh, Chin Kai Xian, 40, Chan Yi Hui, 33, dan Shahinur, 41, mengangguk faham pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan oleh ketiga-tiga suspek.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua lelaki tersebut secara bersama-sama telah didapati mengedar dadah berbahaya jenis Methamphetamine dengan anggaran berat 4.7 kilogram.

Ketiga-tiga mereka melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 2.30 pagi di Jalan Setia Tropika 1/8, Taman Setia Tropika, pada 4 Oktober lalu.

Bagi perbuatan itu, ketiga-tiga mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39(B) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Tertuduh berdepan dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum dengan hukuman mati, hendaklah dihukum dengan sebatan yang tidak kurang daripada 15 sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noraqilah Ahmad Rofaie manakala Kai Xian dan Shahinur diwakili Mohd. Daud Ismail sementara Yi Hui tidak diwakili peguam. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI