MUNGKIN 10 tahun akan datang, kereta berprestasi jenis berenjin pembakaran dalaman (ICE) sudah tidak lagi dikeluarkan.
Pada ketika itu, jika inginkan kenderaan berkelajuan tinggi mungkin hanya ditawarkan dari jenis kereta elektrik (EV).
Sekarang pun kita lihat semakin banyak kenderaan berkelajuan tinggi yang dikeluarkan dalam jenis EV.
Di Malaysia, jenama-jenama premium seperti BMW, Mercedes Benz, Audi dan Porsche juga sudah memperkenalkan EV versi prestasi tinggi. Antara model-model itu seperti BMW iX M60, Mercedes AMG EQS 53, Audi RS e-tron GT dan Porsche Taycan.
Baru-baru ini penulis telah dipelawa menyertai dua sesi pandu uji yang dibuat Audi Malaysia untuk merasai sendiri perjalanan jarak jauh dan di dalam litar bagi model EV mereka.
Pada Garaj minggu ini, penulis akan ceritakan pengalaman memandu uji model EV, Audi RS e-tron GT.
Bagi perjalanan jarak jauh, kami telah memandu dari Audi Glenmarie ke Ipoh, Perak dengan sekali pengecasan, manakala dalam litar, kami memandu di Litar Antarabangsa Sepang.
Memandangkan model Audi RS e-tron GT merupakan kenderaan elektrik berprestasi tinggi, jadi pemanduan di dalam litar adalah yang terbaik untuk menguji prestasi sebenar.
Model ini dilancarkan pada bulan Jun lalu bersama enam model EV yang lain.

Secara asasnya, Audi RS e-tron GT merupakan sebuah EV dengan pacuan semua roda yang mana motor elektriknya mampu menghasilkan kuasa maksimum 646PS dan tork maksimum 820Nm.
Atas kertas, Audi mendakwa, model ini mampu memecut dari pegun ke 100 kilometer sejam (km/j) hanya dalam masa 3.3 saat. Saya juga dimaklumkan, kelajuan maksimum EV ini ialah 250km/j.
Dengan sekali pengecasan penuh, Audi RS e-tron GT ini mampu bergerak sehingga 488 kilometer (km).
Sekiranya menggunakan pengecas laju (DC), tempoh mengecas dari 5 peratus hingga 80 peratus hanya mengambil masa 22.5 minit.
Ketika perjalanan pulang dari Ipoh, giliran penulis memandu kereta ini.
Sejujurnya saya agak bimbang dengan jarak perjalanan adakah cukup atau perlu dicas pada pertengahan perjalanan memandangkan EV ini sangat berkuasa.
‘Range anxiety’ memang ada, tetapi sudah banyak tempat mengecas di hentian Rawat dan Rehat di lebuh raya membuatkan penulis rasa lebih yakin.
Pandangan awal penulis untuk 10 minit pertama pemanduan ialah EV ini seperti sebuah kereta berprestasi ICE yang mana respons pedal dan kawalan sterengnya menyeronokkan, tambahan pula ‘fake sound’ yang dihasilkan daripada bunyi kipas dan paip memberikan mod tersendiri.
Penulis difahamkan, bunyi itu direka oleh jurutera Audi bertujuan mencipta karakter model EV berkenaan.
Tidak sukar untuk mengendalikan kereta ini, cuma perlu kerap perhatikan meter kelajuan kerana tanpa sedar boleh mencecah kelajuan 180km/j.
Kelajuan maksimum yang penulis cuba sekadar 220km/j dan kemudian pijak brek semula.
Dengan pemanduan yang adakalanya agresif, penulis tiba di Audi Glenmarie dengan jarak perjalanan kereta ini berbaki 105km lagi.
Beberapa hari lalu, ketika sesi pandu uji di Litar Antarabangsa Sepang, penulis diberi peluang untuk memandu di dalam litar dan membuat ‘launch control’.
Sebelum ini, penulis turut membuat pandu uji beberapa EV di litar ini tetapi berbeza dengan model ini kerana pemanduan dan kendaliannya rasa seperti sebuah kereta ICE berprestasi tinggi, tidak ‘kaku’ seperti kelaziman EV.
Ketika membuat ujian ‘launch control’, penulis membuat catatan masa 3.1 saat dari pegun hingga 100km/j. Lebih cepat daripada dakwaan atas kertas itu. Malah, penulis dimaklumkan ada rakan media yang berjaya catat rekod 3 saat.
Apa yang penulis lihat, Audi RS e-tron GT ini tidak seperti EV lain kerana respons dan mod yang diberikan mirip kenderaan ICE.
Adakah model-model sebegini antara kereta berprestasi tinggi yang akan memeriahkan industri automotif pada masa hadapan? Masa akan menentukan.














