fbpx
JUMLAH murid di dalam kelas perlu dihadkan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar. – GAMBAR HIASAN

Prestasi merosot akibat kelas padat, silibus berat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Silibus pembelajaran yang padat dan keberadaan murid yang terlalu ramai di dalam sesebuah kelas menjadi faktor utama pelajar kurang cemerlang di sekolah.

Situasi itu menyebabkan ramai ibu bapa mengeluh apabila keputusan peperiksaan anak-anak mereka yang berada di sekolah rendah tidak begitu memberangsangkan.

Malah kata mereka, ada anak-anak mengadu kerja sekolah yang diberikan oleh guru terlalu susah untuk difahami.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mengkaji semula isu ini terutama berkenaan silibus pembelajaran di peringkat sekolah rendah yang terlalu padat sehingga memberi kesan kepada minat anak-anak untuk belajar.

ANUAR

Katanya, salah satu daripada tiga syarat dalam pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) juga menetapkan agar bilangan murid dalam bilik darjah tidak boleh ramai kerana boleh menjejaskan fokus pembelajaran.

“Pelaksanaan PBD yang diamalkan oleh negara ketika ini kurang sesuai kerana negara dilihat kurang bersedia bagi pelaksanaan pentaksiran sedemikian yang telahpun diamalkan di negara-negara maju.

“Jika dilihat di negara maju yang sudah mengamalkan PBD, silibus mereka tidak terlalu berat dan guru-guru juga boleh lakukan bermacam aktiviti dengan pelajar. Justeru, perkara itu menyebabkan murid di sana seronok untuk ke sekolah,” katanya.

JUMLAH murid di dalam kelas perlu dihadkan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar. – GAMBAR HIASAN

Jelas Anuar, pelaksanaan PBD mempunyai tiga kriteria utama supaya pelaksanaannya berkesan sebagaimana yang dilakukan di negara-negara maju.

“Ada tiga syarat utama iaitu untuk melaksanakan PBD, bila­ngan murid dalam bilik darjah itu tidak boleh ramai kerana apabila murid terlalu ramai, guru tidak ada ruang dan masa untuk meniliti dan memerhati bagi me­lakukan pentaksiran sepanjang proses pengajaran berlaku dalam bilik darjah.

“Akhirnya, ramai murid-murid dinilai dalam keadaan guru tidak mempunyai keupayaan tersebut. Jika lihat di negara-negara maju yang mengamalkan PBD, dalam bilik darjah mereka ada 20 hingga 25 orang murid sahaja,” jelasnya.

Anuar menambah, silibus yang sangat padat juga menjadikan guru tidak mampu untuk me­lakukan banyak aktiviti bersama murid-murid.

“Di sekolah, guru akan bercakap sahaja dan murid-murid akan mendengar, menghafal dan membuat kerja rumah dan sebagainya.

“Sebalik­nya, proses untuk melihat bagaimana murid-murid itu beraktiviti di dalam kelas tidak banyak sedangkan PBD perlukan murid-murid yang aktif bukan guru,” ujarnya.

Selain itu katanya, autonomi perlu diberikan sepenuhnya kepada guru, di mana penilaian ataupun markah diberikan tanpa campur tangan pihak lain.

“Selagi mana tiga isu tidak di­selesaikan dalam sistem pendi­dikan kita, maka pelaksanaan PBD itu tidak akan berkesan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, PBD wajar diteliti semula sama ada pe­nerimaan dan piawaiannya boleh diterima pakai bukan sahaja di Malaysia tetapi di peringkat antarabangsa.

“Kebanyakan isu yang timbul ialah ada elemen-elemen berat sebelah pentaksiran itu berdasarkan sekolah, di mana guru-guru yang menentukan markah dan juga pencapaian.

“Biasanya, sekolah berlumba-lumba hendak meningkatkan gred dan sebagainya, mereka akan cuba memberi markah yang tinggi dan sebab itu kita bimbang adanya pihak-pihak yang mengurangkan markah tersebut,” kata­nya lagi.

MOHAMAD ALI

Selain itu katanya, pentaksiran tersebut yang tidak mempunyai kayu ukur atau piawaian antarabangsa memberi kesan semasa kepada pelajar-pelajar yang mahu memasuki sekolah berasrama penuh apabila mereka perlu menduduki peperiksaan khas.

“Selain itu, kepakaran pentaksir-pentaksir juga belum mencapai tahap yang memuaskan. Latihan semula pentaksir-pentaksir sekolah belum dilakukan secara agresif dan ia perlulah dikaji semula oleh pihak berwajib.

“Justeru itu, dicadangkan bahawa peperiksaan akhir tahun khususnya seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu dirombak supaya boleh diterima pakai semua pihak.

“Pihak sekolah juga sepatutnya dibenarkan menggunakan formula 60 per 40 atau pun 70 per 30 antara peperiksaan dan juga PBD,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN