fbpx

Kerajaan lulus RM168.70 juta peruntukan atasi kesesakan pintu masuk negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAIFUDDIN bersama Onn Hafiz Ghazi dan Alexander hadir pada majlis taklimat selepas mengadakan lawatan dan tinjauan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuaratin Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru hari ini. - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

JOHOR BAHRU – Kerajaan meluluskan sebanyak RM168.70 juta peruntukan bagi mengatasi kesesakan empat laluan di pintu masuk negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, peruntukan itu merangkumi tiga projek fizikal dan insentif pintu masuk kepada pegawai imigresen pelbagai gred yang bertugas di pintu masuk.

Menurutnya, insentif itu melibatkan pegawai yang bertugas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), KLIA1 dan KLIA2.

“Tiga inisiatif baharu itu adalah tambahan 77 MBIKE dengan kos sebanyak RM61.7 juta, penggabungan dewan, naik taraf dan pembinaan projek baharu di KSAB berjumlah RM106.99 juta serta pembinaan pejalan kaki berbumbung di sepanjang Tambak Johor dengan anggaran kos yang akan diperincikan kemudian.

“Pemberian insentif pintu masuk kepada pegawai imigresen melibatkan BSI, KSAB, KLIA1 dan KLIA2 dengan implikasi kewangan sebanyak RM7.93 juta setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan secara dalam talian Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor yang diadakan di Kompleks CIQ BSI di sini hari ini.

Fadillah berkata, insentif kepada imigresen itu bertujuan menjaga kebajikan anggota selari dengan konsep ihsan di bawah kerangka Malaysia Madani.

“Perbincangan lanjut akan diadakan bagi memperhalusi perkara ini bersama Jabatan Perkhidmatan Awam untuk perluasan pemberian insentif kepada pegawai Imigresen di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Mengulas mengenai pelaksanaan 21 inisiatif di BSI dan KSAB, beliau berkata, sehingga semalam sebanyak 15 inisiatif atau 71 peratus telah siap sepenuhnya.

Lima inisiatif atau 24 peratus sedang dalam pelaksanaan dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2025 dan satu inisiatif atau lima peratus belum dilaksanakan.

Katanya, berdasarkan statistik, untuk tahun ini sehingga bulan lepas, jumlah pengembara di kedua-dua Kompleks CIQ itu telah mencapai 98 juta dan dijangka meningkat kepada sekitar 136 juta pada penghujung tahun ini iaitu menyamai statistik pada tahun 2019 atau pra Covid-19.

Katanya, jumlah pengembara ini dijangka akan meningkat pada kadar 15 peratus setahun dan dianggarkan seramai 157 juta pengembara akan melalui di kedua-dua pintu masuk laluan darat antara Malaysia Singapura itu menjelang tahun 2025.

“Mengambil kira kekurangan anggota Imigresen yang bertugas di kaunter manual, keperluan kepada autogate amat membantu dalam menangani peningkatan pengembara khususnya pada waktu
puncak.

“Kerajaan sentiasa memastikan kerjasama menyeluruh dan usaha bersepadu yang berterusan dengan semua pihak terlibat serta sentiasa terbuka untuk menerima cadangan penambahbaikan bagi menangani isu kesesakan di pintu masuk terutamanya Tambak Johor,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI