fbpx

Kerjasama semua pihak penting pastikan Harimau Malaya tidak pupus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Nazmi (kiri) ketika mempengerusikan Mesyuarat Kedua Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya (National Tiger Conservation Task Force – MyTTF) bersama wakil-wakil negeri rayauan harimau (Tiger Range States) di Kementerian Kerja Raya di sini hari ini. -FAUZI BAHARUDIN/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kesepakatan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri merupakan kunci utama bagi mengukuhkan pemeliharaan dan pemuliharaan Harimau Malaya untuk memastikan spesies tersebut tidak pupus buat selama-lamanya.

Menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, terdapat banyak perkembangan positif sejak pengumuman pelaksanaan sembilan tindakan strategik luar biasa konservasi Harimau Malaya yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada 16 Jun 2021 lalu.

“Hari ini, tiga kertas pertimbangan dan dua kertas makluman dibentangkan pada Mesyuarat Kedua Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF).

“Ia merangkumi inisiatif mempertingkatkan usaha konservasi spesies Harimau Malaya dan habitatnya di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Mesyuarat Kedua Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya (National Tiger Conservation Task Force – MYTTF) bersama wakil-wakil negeri rayauan harimau (Tiger Range States) di Kementerian Kerja Raya, di sini
hari ini.

Turut serta dalam mesyuarat sama ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

Menerusi mesyuarat tersebut, kementerian menetapkan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan bakal dijadikan Centre of Excellence melalui pengukuhan fungsi, perjawatan, perkakasan teknologi penyelidikan dan kerjasama strategik.

“Mesyuarat juga bersetuju untuk memperluaskan pelaksanaan Skim Akreditasi Conservation Assured Tiger Standards (CA|TS) bagi mengukuhkan keberkesanan pengurusan habitat Harimau Malaya.

“Bagi tujuan ini, Jabatan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah diberi tanggungjawab untuk menerajui pelaksanaan CA|TS di peringkat nasional,” katanya.

Menurut Nik Nazmi, pencerapan saintifik oleh Perhilitan Semenanjung Malaysia menunjukkan terdapat sekurang-kurangnya 15 ekor kelahiran baharu Harimau Malaya secara semula jadi di Kelantan, Pahang, Perak dan Terengganu.

Selain itu, rondaan dan kawalan biodiversiti melalui pelantikan Renjer Komuniti dan Operasi Bersepadu Khazanah oleh Jabatan Perhilitan dengan kerjasama PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Pihak Berkuasa Negeri dan pertubuhan bukan kerajaan juga telah mencatatkan kejayaan dengan 531 tangkapan melibatkan sitaan berjumlah RM123.91 juta.

“Saya yakin kesepakatan semua pihak seperti yang ditunjukkan pada hari ni akan memangkin perubahan transformatif dan menjadi pencetus untuk melaksanakan lebih banyak tindakan luar biasa.

“Ini adalah penting bagi mengukuhkan lagi agenda negara dalam memastikan spesies yang menjadi simbol Jata Negara tidak pupus buat selama-lamanya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI