PETALING JAYA – Hasrat skuad bawah 19 (B-19) tahun negara untuk melakar kejutan tidak kesampaian selepas tewas 2-3 kepada Thailand pada aksi terakhir Kumpulan B sekali gus gagal mara separuh akhir Kejuaraan ASEAN B-19 di Stadium Madya 1, Medan, Indonesia, sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, pasukan negara kendalian Nafuzi Zain memulakan saingan dengan langkah kanan apabila meraih gol awal menerusi penyudah Amar Imran Uzaini Ashadi pada minit ke-13.
Tersentak dengan gol tersebut, skuad muda Gajah Perang itu berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Pichaiya Kongsri yang menyudahkan hantaran daripada Natthakit Phosri berselang lapan minit kemudian.
Thailand menggandakan kelebihan pada minit ke-42 menerusi penyudah Pirada Larsawat tetapi rembatan Arsyad Shamsul Aswadi memastikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan kedudukan 2-2 selepas tamat babak pertama.
Bersambung pada separuh masa kedua, nasib malang menimpa skuad muda Harimau Malaya selepas Muhammad Ilhaam Azani Mohd Azamin mengasari Itthimon Tippanet dalam kotak penalti sehingga dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan.
Kongsri muncul wira Thailand apabila mudah menyempurnakan jaringan tersebut dengan keputusan 3-2 kekal hingga wisel penamat.
Kekalahan tersebut menyaksikan Thailand lolos ke separuh akhir manakala harapan skuad negara untuk mara ke separuh akhir selaku naib juara juga tidak berjaya memandangkan Vietnam yang beraksi dalam Kumpulan A memiliki kelebihan jaringan. – KOSMO! ONLINE














