fbpx
HANNAH (tengah) tiba di KLIA bersama para atlet negara selepas pulang daripada temasya Sukan Asia di Hangzhou.

Formula pingat tanpa warna mungkin kekal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) memberi bayangan sasaran pingat keseluruhan tanpa warna mungkin diteruskan pada temasya-temasya sukan akan datang selepas ‘eksperimen’ yang dibuat di Sukan Asia Hangzhou 2022.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, formula sasaran pingat keseluruhan tanpa warna bukanlah pendekatan baharu semata-mata tetapi ianya selepas mendapat nasihat dan cadangan daripada Nippon Sport Science University (NSSU).

Jelas beliau, pendekatan itu dilihat sebagai antara penyumbang kepada kejayaan atlet pada temasya Sukan Asia kali ini yang berjaya menghadiahkan enam pingat emas, lapan perak dan 18 gangsa.

Hannah mendedahkan, sebahagian besar atlet yang menggalas misi di Sukan Asia mengakui, mereka dapat masuk ke dalam gelanggang tanpa sebarang tekanan, sekali gus mampu menampilkan aksi terbaik.

“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya berterima kasih kepada atlet-atlet yang berjuang habis-habisan untuk memenangi pingat buat negara. Ada (atlet) yang patah jari dan ada juga yang cedera mata.

“Pembaharuan dan kaedah baharu yang dicadangkan NSSU telah membuahkan hasil. Mungkin perubahan dibuat, ada yang tidak gembira, tetapi kita tidak takut pada perubahan sekiranya ia bawa kebaikan untuk atlet.

“Kita tidak buat perkara (sasaran) ini kerana cara baharu, ia adalah nasihat NSSU kepada kita. Kalau cakap dengan atlet di sana, mereka rasa tekanan seperti tidak wujud. Kalau benda itu baik, kita akan teruskan,” katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Untuk rekod, kontinjen Malaysia menamatkan temasya Sukan Asia 2022 di tangga ke-14 dengan 32 pingat keseluruhan termasuk enam pingat emas, lapan perak dan 18 gangsa, sekali gus melepasi sasaran awal 27 pingat keseluruhan.

Dalam pada itu, kem skuasy negara melakar pencapaian paling cemerlang pada Sukan Asia kali ini apabila berjaya menyumbang lima pingat keseluruhan termasuk tiga emas, satu perak dan satu gangsa.

Sementara itu, Hannah juga akan membentangkan pencapaian kontinjen Malaysia dalam mesyuarat kabinet menjelang Bajet 2024 Jumaat ini selepas cadangan ketua kontinjen (CDM) Sukan Asia, Datuk Chong Kim Fatt yang mengharapkan dana lebih besar untuk industri sukan.

“Dalam mesyuarat kabinet minggu ini, saya akan bentangkan pencapaian pasukan Malaysia. Jika buat perbandingan dengan negara lain, tidak boleh tengok dari segi pingat sahaja kerana pelaburan yang dibelanjakan setiap negara perlu diambil kira.

“Jika kita lihat rekod lampau, yang berjaya memang perlukan pendedahan di luar negara dan memang betul apa dikatakan Datuk Chong (Kim Fatt), kita memerlukan duit,” ujar beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN