fbpx

Kurangkan kebergantungan bahan api petroleum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anas Nasrun selaku moderator bersama dua panel, Muhammad Izzal dan Mohd. Najib pada sesi temu bual 'Pocket Talk Green Lubricants' anjuran UMW Grantt International Sdn. Bhd. sempena IGEM 2023 di KLCC, Kuala Lumpur yang turut ditayangkan secara dalam talian.

KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya kebergantungan kepada sumber petroleum perlu dikurangkan serta bertukar kepada sumber biodegradasi yang mesra alam demi kelestarian alam sekitar dan masa depan.

Ini termasuk penggunaan minyak pelincir produk hijau yang mesra alam dan biodegrasi dihasilkan daripada sumber tumbuhan, berbanding minyak pelincir diambil daripada petroleum.

Ketua Produk Inovasi UMW Innovation and R&D Centre Sdn. Bhd. (UIRDC), Dr. Muhammad Izzal Ismail berkata, peralihan sumber tersebut penting sekali gus usaha mendepani pelbagai isu dan impak terhadap kebergantungan bahan api petroleum semata-mata.

“Sebagai contoh kesan rumah hijau susulan gas-gas karbon dilepaskan ke atmosfera yang boleh memberi impak kepada pemanasan global, iklim, pencarian ais, kenaikan permukaan laut dan sebagainya.

“Pada hari ini suhu meningkat kepada 1.1 darjah Celsius dan bayangkan jika meningkat kepada 1.5 darjah Celsius yang boleh memusnahkan 73 peratus hidupan karang. Jika meningkat 2 darjah Celsius, hampir 99 peratus hidupan karang musnah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi temu bual ‘Pocket Talk Green Lubricants’ anjuran UMW Grantt International Sdn. Bhd. sempena Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Temu bual yang ditayangkan secara dalam talian itu turut menampilkan panel Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Proses, Universiti Malaysia Pahang Al Sultan Abdullah (UMPSA), Ts. Mohd. Najib Razali dengan moderator ialah Pengarah Kumpulan Pembuatan dan Kejuteraan UMW, Anas Nasrun Mohd. Osman.

Muhammad Izzal berkata, peralihan kepada sumber yang mesra alam juga penting memandangkan kebergantungan kepada sumber petroleum semata-mata boleh menyebabkab ia ‘hilang’.

“Kajian menunjukkan apabila kita terlalu bergantung kepada sumber petroleum ini, kita akan kehilangannya untuk tempoh panjang kira-kira 47 tahun. Jadi perlu mencari sumber lain yang lebih bersih dan mampan.

“Bukan itu sahaja, dunia berdepan pelbagai isu lain seperti rantaian global, krisis perang, pandemik melibatkan kesihatan yang sebagainya. Kita tidak konsisten dari segi sumber mentah sekali gus perlu mencari alternatif lain,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pelancaran Minyak Bio Hidraulik VG GRANTT dihasilkan daripada minyak sawit tempatan pada tahun lalu dan Gris Gred Makanan Pelbagai Guna Grantt semalam oleh UMW Grantt antara usaha pihak berkenaan dalam mengurangkan kebergantungan kepada bahan api petroleum.

Mohd. Najib pula berkata, penggunaan pelincir hijau boleh membantu mengurangkan risiko tumpahan minyak di sungai dan laut dengan menangani beberapa faktor utama yang menyumbang kepada insiden tersebut.

“Pelincir hijau diformulasikan untuk biodegradasi dan mesra alam. Apabila berlaku tumpahan, pelincir ini lebih mudah pecah di dalam air, mengurangkan kesan alam sekitar berbanding pelincir berasaskan petroleum tradisional.

“Selain itu, pelincir hijau biasanya mempunyai tahap ketoksikan lebih rendah berbanding petroleum. Ini mengurangkan kemudaratan kepada hidupan akuatik dan ekosistem jika tumpahan berlaku.

“Lebih rendah tahap ketoksikan juga boleh membawa kepada pemulihan yang lebih cepat dan pemulihan kawasan yang terjejas,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI