fbpx

Polis sedia siasat ugutan pengusaha stesen minyak sekiranya ada laporan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin pada Karnival Pencegahan Jenayah kolaborasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan rakan strategik serta komuniti setempat di perumahan awam Flat Sri Sabah, di sini.

KUALA LUMPUR – Pemilik stesen minyak yang berdepan ugutan daripada sindiket penyeludupan diesel bersubsidi digesa untuk membuat laporan polis bagi tindakan selanjutnya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia menyiasat dan mengambil tindakan terhadap sindiket apabila terdapat unsur ugutan dan jenayah.

“Lesen yang dikeluarkan kepada pemilik stesen minyak dikawal selia oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) manakala kuota dan bahagian subsidi pula di bawah Kementerian Kewangan (MOF).

“Bila ada elemen ugutan ini sudah jadi bidang kuasa polis dan kalau berlaku betul, pemilik stesen minyak perlu segera lapor polis baru tindakan diambil,” katanya.

Beliau berkata pada sidang akhbar Karnival Pencegahan Jenayah kolaborasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan rakan strategik serta komuniti setempat di perumahan awam Flat Sri Sabah, di sini.

Turut hadir sama iaitu Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Kata beliau, bidang kuasa KPDN hanya membabitkan tindakan pemilik stesen minyak yang dikesan menjual diesel bersubsidi dalam jumlah yang besar dan tidak munasabah.

Jelas beliau, ancaman seperti ugutan merupakan suatu jenayah dibawah kendalian PDRM.

Dalam perkembangan sama, Razarudin berkata, sehingga hari ini tiada laporan polis dibuat bagi kes ugutan sindiket kepada pemilik stesen minyak.

23 April lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali mendedahkan ramai pemilik stesen minyak diugut oleh sindiket sekiranya tidak membenarkan penjualan bahan api itu kepada kenderaan yang terlalu kerap mengisinya.

Atas isu keselamatan, ada sesetengah stesen minyak pilih untuk tidak buat laporan kerana khuatir dan bimbang dengan keselamatan diri, pekerja dan premis mereka.

Mengulas isu sama, Armizan turut menggesa orang ramai untuk segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat unsur penyeludupan atau ketirisan barang bersubsidi itu di kawasan masing-masing. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI