fbpx

Ops Khas Pagar Laut: 175 tangkapan, rampasan RM15 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin beramah mesra selepas Majlis Perjumpaan Bersama Warga Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, hari ini. FOTO FAIZ ALIF ZUBIR/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Ops Khas Pagar Laut dikendalikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang akan berakhir esok berjaya melakukan 175 tangkapan sejak ia dilancarkan pada Mac lalu membabitkan rampasan bernilai RM15 juta.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifudddin Nasution Ismail berkata, tangkapan itu kebanyakannya dibuat sepanjang bulan Ramadan dan awal Syawal lalu.

Beliau berkata, ia satu kejayaan penting buat Maritim Malaysia biarpun terpaksa mengorbankan cuti Aidilfitri demi keselamatan perairan negara.

“Tangkapan yang dilakukan itu membabitkan pelbagai kesalahan seperti pendatang asing tanpa izin (PATI), pencerobohan nelayan asing, penyeludupan masuk dan keluar barangan kontraban selain barang subsidi,” katanya katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Maritim Malaysia di sini, hari ini.

Sementara itu, Saifuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memuktamadkan proses perolehan empat helikopter bernilai RM600 juta bagi kegunaan Maritim Malaysia.

Katanya, perolehan itu sudah pun diserahkan kepada Kementerian Kewangan untuk keputusan akhir.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi dilaporkan berkata, Maritim Malaysia bakal mendapatkan aset baharu iaitu empat helikopter dan satu kapal induk bertujuan memantapkan operasi pasukan itu khususnya di perairan Sabah dan Sarawak.

Jelas beliau, perolehan membabitkan peruntukan berjumlah RM600 juta sudah diluluskan bagi mendapatkan helikopter berkenaan yang akan ditempatkan di Pusat Operasi Udara Maritim Sandakan, Sabah.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, pihaknya masih meneruskan rundingan berhubung tawaran US Coast Guard yang mahu menyumbangkan dua kapal perondanya kepada Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI