fbpx

K2

Perihal ular Syuja’an Aqra’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ular merupakan antara haiwan yang disebutkan dalam hadis akan menyeksa pelaku maksiat tertentu. – GAMBAR HIASAN

Saya ingin bertanya tentang ular yang bernama Syuja’ul Aqra’ atau disebut juga Syuja’an Aqra’ yang menyeksa para pemaksiat di dalam kubur. Adakah kisah ini berdasarkan hadis yang sohih?

JAWAPAN: Melalui penelitian yang ringkas, kami dapati terdapat dua hadis yang terdapat lafaz Syuja’an Aqra’, yang diertikan sebagai ular jantan aqra’. Ular itu ialah ular yang diciptakan Allah SWT khusus untuk menyeksa golongan yang tidak membayar zakat.

Pertama, sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
“Barang siapa diberi harta oleh Allah, lalu dia tidak menunaikan (kewajipan) zakatnya, pada hari kiamat hartanya dijadikan untuknya menjadi seekor syuja’an aqra’ (ular jantan aqra’ yang kulit kepalanya botak kerana di kepalanya terkumpul banyak racun), yang berbisa dua bahagian mulutnya. Ular itu dikalungkan (di lehernya) pada hari kiamat. Ular itu memegang (atau menggigit tangan pemilik harta yang tidak berzakat tersebut) dengan kedua bahagian mulutnya, lalu ular itu berkata, ’Saya adalah hartamu, saya adalah simpananmu’. Kemudian baginda Nabi SAW membaca (firman Allah SWT: “Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya – menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak.” Surah Ali-Imran ayat 180 (Riwayat Bukhari)

Di dalam riwayat lain, daripada Jabir bin Abdullah, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah pemilik harta simpanan yang tidak melakukan haknya padanya (maksudnya tidak mengeluarkan zakatnya) kecuali harta simpanannya akan datang pada hari kiamat sebagai seekor ular jantan aqra’ yang akan mengikutinya dengan membuka mulutnya. Jika ular itu mendatanginya, pemilik harta simpanan itu lari daripadanya. Lalu ular itu memanggilnya, “Ambillah harta simpananmu yang telah engkau sembunyikan! Aku tidak memerlukannya.” Maka ketika pemilik harta itu melihat, bahawa dia tidak dapat menghindar daripadanya, dia memasukkan tangannya ke dalam mulut ular tersebut. Maka ular itu memakannya sebagaimana binatang jantan memakan makanannya.” (Riwayat Muslim II/684 no. 988)

Kesimpulannya, kisah Syuja’an Aqra’ adalah kisah benar berdasarkan dua hadis yang dibentangkan di atas. Ular yang dimaksudkan Nabi SAW itu dikhususkan untuk menyeksa ahli maksiat yang tidak menunaikan kewajipan berzakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI