fbpx

Anak yatim piatu tekad ubah nasib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MARDZUKI (dua dari kiri) bertanyakan sesuatu kepada salah seorang pelajar baharu pada Majlis Perasmian Bacaan Ikrar Minggu Perkasa Jati Diri UPNM, Sungai Besi, Kuala Lumpur semalam. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

KUALA LUMPUR – “Asalnya saya datang bukan untuk mendaftar, tetapi nak mohon tangguh belajar sebab nak kumpul duit dulu untuk bayar yuran sebab ibu dan bapa sudah tak ada.

“Tetapi selepas pihak UPNM (Universiti Pertahanan Nasional Malaysia) yakinkan saya untuk teruskan dan hulurkan bantuan segera dari segi kelengkapan harian, saya rasa bersyukur sangat,” kata Nur Fatin Najwa Salleh, 24, seorang anak yatim piatu berasal dari Kuala Kedah.

Katanya, sejak bapanya, Allahyarham Salleh Ahmad meninggal dunia empat tahun lalu akibat strok, dia terpaksa membuat kerja sampingan bagi menampung kehidupan dengan seorang adik perempuan.

“Ibu saya meninggal ketika umur saya 13 tahun akibat barah payudara, manakala bapa pula menyusul tujuh tahun kemudian.

“Sejak bapa tiada, saya terpaksa kerja untuk tanggung diri sendiri dan adik yang kini sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang, Kelantan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pe­rasmian dan Bacaan Ikrar ­Minggu Perkasa Jati Diri di Dewan Zulfaqar UPNM di sini semalam.

NUR FATIN NAJWA

Menceritakan keperitan hidup sepanjang ketiadaaan ibu bapanya, Nur Fatin Najwa berkata, dia terpaksa mencatu makan sekali sehari untuk berjimat dan hanya mampu memberi belanja kepada adiknya sebanyak RM50 dan kadang-kadang RM100 sebulan hasil kerja sampingan.

“Saya bekerja di sebuah restoran dengan gaji RM1,500 sebulan. Duit tu saya guna untuk tanggung kami dua beradik. Saya minta adik bertahan dengan makan sekali sehari dan pernah sebulan dia makan mi segera.

“Pedih hati bila dia beritahu teringin makan sedap seperti orang lain,” katanya yang memilih Kursus Pengajian Strategi.

Sementara itu, seorang pelajar daripada anak Orang Asli, Imoul Al Ago, 21, begitu teruja untuk menimba ilmu di UPNM.

Katanya yang merupakan anak kesembilan daripada 13 orang adik-beradik, dia ingin mengubah nasib keluarga memandangkan kedua-dua ibu bapanya tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Ibu dan bapa cuma buat kerja-kerja kampung, jadi pendapatan tak seberapa. Saya harap dengan peluang belajar di UPNM ini boleh mengubah nasib keluarga.

“Walaupun UPNM bukan pilihan utama, tetapi perasaan saya terus bertukar apabila mula masuk ke sini dan semakin meminati bidang ketenteraan,” ujarnya yang berasal dari Gua Musang Kelantan.

Dalam pada itu, seramai 760 orang pelajar baharu mendaftar secara rasmi mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Sesi Akademik 2023/2024 di UPNM.

Mereka terdiri daripada 462 pelajar lelaki dan 298 pelajar perem­puan.

Semua mereka melafazkan bacaan ikrar di hadapan Naib Canselor UPNM, Leftenan Datuk Mardzuki Muhammad.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI