fbpx

Mahkamah: 5 sahabat terlepas hukuman gantung bunuh remaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lima sahabat sebaik dibebas dan dilepaskan daripada hukuman gantung atas pertuduhan membunuh remaja lelaki, enam tahun lalu.

GEORGE TOWN – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepas dan membebaskan lima sahabat daripada pertuduhan membunuh seorang remaja lelaki, enam tahun lalu.

Kelima-lima tertuduh, S. Gopinath,32, J.Ragesuthan,24, S.Gokulan,24, V.Sharmah,24, dan K.Tatisan,24, dibebaskan dan dibebaskan selepas didakwa secara bersama membunuh dan mencederakan, T.Nhaveen.

Sebaik sahaja keputusan itu diumumkan oleh Hakim Radzi Hamid, suasana di dalam Mahkamah Tinggi bertukar hiba apabila terdapat ahli keluarga tertuduh menangis.

Hakim Radzi Hamid membuat keputusan melepas dan membebaskan kelima-lima tertuduh selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie yang mengaitkan mereka dengan kes pembunuhan Nhaveen yang ketika itu berusia 18 tahun.

Dalam penghakimannya, Radzi berkata, mahkamah mendapati keterangan salah seorang saksi yang juga rakan mangsa, T.Previin tidak boleh dipercayai dan terdapat percanggahan dalam keterangan saksi.

“Apabila saksi tidak kredibel, keterangan saksi tidak dapat digunakan dalam tuduhan yang membabitkan tertuduh-tertuduh.

“Mahkamah mendapati tidak ada niat bersama tertuduh-tertuduh untuk mencederakan mangsa dan mendatangkan bencana tubuh ke atas mangsa.

“Oleh itu, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh dan mahkamah melepas serta membebaskan kelima-lima tertuduh,” katanya ketika prosiding hari ini.

Menurut Radzi, walaupun terdapat bukti bahawa Nhaveen meninggal dunia akibat kecederaan termasuk trauma tumpul di kepala beberapa hari selepas kejadian itu namun tiada butiran jelas tentang apa yang berlaku pada hari tersebut.

Kelima-lima tertuduh telah dituduh membunuh Nhaveen, 18, antara pukul 11 malam dan tengah malam pada 9 Jun 2017, di Jalan Kaki Bukit, Bukit Gelugor.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Selain itu, kesemua tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Azhar Hamzah manakala Sharmah diwakili peguam Manveer Singh Dhilon, Peguam Datuk Naran Singh mewakili Gokulan, Gopinath dan Ragesuthen serta Tatisan diwakili peguam S.Yagoo. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI