fbpx

Jumlah deposit Simpan SSPN cecah RM15.81 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norliza menyampaikan pemenang cabutan SSPN pada Majlis Pelancaran Bulan Menabung Simpan (BMS) SSPN 2023 di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, hari ini.

PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan jumlah deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang diterima sehingga 31 Ogos lalu adalah sebanyak RM15.81 bilion, dengan 6.04 juta akaun.

Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, jumlah keseluruhan deposit tersebut adalah bagi tempoh 19 tahun, iaitu sejak Simpan SSPN diperkenalkan pada 2004.

Menurutnya, pencapaian deposit Simpan SSPN sentiasa menunjukkan peningkatan ketara pada setiap tahun dan prestasi ini membuktikan Simpan SSPN terus cemerlang sebagai produk simpanan terbaik pilihan ibu bapa di negara ini.

“Komitmen PTPTN dalam memupuk budaya menabung turut diterjemah dalam teras Pelan Strategi PTPTN 2021-2025 iaitu menjadikan Simpan SSPN sebagai produk simpanan pendidikan utama di Malaysia.

“Usaha ini selaris dengan hasrat PTPTN untuk mentransformasi minda masyarakat daripada meminjam kepada menyimpan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman sekali gus mengelakkan anak dibelenggu hutang apabila tamat penganjian,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Menabung Simpan (BMS) SSPN 2023 di sebuah pusat beli-belah di sini, yang turut ditayangkan secara langsung di media sosial PTPTN, hari ini.

Dalam pada itu, Norliza berkata, berdasarkan kutipan deposit yang memberangsangkan dalam tempoh lima tahun penganjuran BMS, beliau optimis BMS 2023 akan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat Malaysia.

“Justeru pada tahun ini, PTPTN menyasarkan jumlah deposit Simpan SSPN bagi BMS 2023 sebanyak RM220 juta. Saya yakin sasaran ini akan dapat dicapai dengan sokongan dan kerjasama oleh pelbagai pihak serta strategi promosi yang dilaksanakan,” ujarnya.

Penganjuran BMS 2023 kali ini membawa kelainan apabila julung kalinya dilaksanakan menerusi konsep jelajah merentasi 14 negeri di lokasi terpilih seluruh Malaysia sepanjang bulan Oktober 2023, iaitu bermula hari ini hingga 31 Oktober 2023.

Ia bertemakan ‘Robotik: Ke arah Transformasi Dunia Pendigitalan’ dengan mengekalkan ‘tagline’ Jom Jadi Superhero Anak Anda. Konsep ini signifikan kerana sains dan teknologi robot berkait rapat dengan kemajuan dan memerlukan pengetahuan tentang teknologi terkini.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan antaranya Pertandingan Mewarna Simpan SSPN, Pertandingan Action Song Simpan SSPN, PTPTN Esport Challenge (PUBG Mobile), Simpan SSPN Got Talent, Robotik (Robomission), Robotik (Inovasi), Happy Hour, penampilan khas Didi & Friends, selebriti jemputan.

Bagi memeriahkan lagi BMS 2023, Cabutan BMS 2023 diteruskan pada tahun ini dengan hadiah wang tunai berjumlah RM75,000 kepada seramai 66 pemenang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI