fbpx

Program TVET empowerNCER buka laluan kerjaya di syarikat minyak, gas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shamsul Ridzuan (duduk, dua dari kiri) dan Nur Baiti (duduk, dua dari kanan) bergambar bersama peserta empowerNCER di Seri Manjung, hari ini.

MANJUNG – Kemahiran spesifik berkaitan bidang minyak dan gas (O&G) yang dimiliki peserta Kursus Penebatan Paip Gas ditawarkan empowerNCER membuka laluan kerjaya kepada mereka apabila tiga daripadanya ditawarkan peluang bekerja dalam industri tersebut.

Ketua Pejabat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Perak, Nur Baiti Jamalul Karib berkata, kesemua peserta kurus tersebut yang ditawarkan bekerja dengan sebuah syarikat O&G tempatan berkenaan merupakan pemegang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Mereka ini yang berusia antara 19 hingga 23 tahun telah pun bekerja dengan syarikat terbabit. Kursus diambil mereka merupakan yang pertama kali ditawarkan di negeri ini dan Manjung menjadi daerah pertama ia dilaksanakan.

“Kita memberi penekanan terhadap kursus berkenaan kerana ia merupakan sebahagian daripada Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diberikan tumpuan oleh kerajaan ketika ini,” katanya kepada Kosmo!, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis perasmian Pusat empowerNCER Daerah Manjung yang dirasmikan oleh Pegawai Daerah Manjung, Shamsul Ridzuan Idris.

Pada masa sama, Nur Baiti berkata, kira-kira 80 peratus daripada sekitar 2,400 peserta graduan empowerNCER berjaya meningkatkan pendapatan masing-masing yang rata-ratanya terdiri daripada golongan wanita.

Katanya, kebanyakan daripada mereka berjaya mendapatkan sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan daripada tiada pendapatan sebelum mengambil kursus ditawarkan pihaknya.

“Kami memantau perjalanan karier mereka sebaik sahaja mereka menamatkan kursus yang diambil. Pemantauan biasanya dijalankan selama enam bulan dan kita dapati para peserta berkenaan berjaya memperoleh pendapatan sekitar angka berkenaan.

“Antara kursus yang popular ditawarkan termasuklah Pembuatan Roti, Kek dan Pastri, Jahitan dan Fesyen, Terapi Spa, Keusahawanan, Kelestarian dan Inovasi Perniagaan serta Kemahiran Pembaikan Telefon Bimbit dan Komputer,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI