fbpx

Dua mangsa trak pikap terbabas dalam sungai ditemui maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah kren digunakan untuk mengeluarkan trak pikap yang terjunam ke dalam Sungai Chenderung Kubu di Kampung Chenderung Kubu, Tumpat hari ini. - Foto ROHANA ISMAIL / KOSMO!

TUMPAT – Perjalanan pulang dua sepupu daripada menziarahi saudara yang meninggal dunia berakhir tragedi apabila trak pikap yang mereka dinaiki terbabas sebelum terjunam ke dalam Sungai Chenderung Kubu, Kampung Chenderung Kubu di sini, hari ini.

Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, kedua-dua mangsa yang berketurunan Siam iaitu Eh Bau Eh Di, 43, yang memandu trak pikap jenis Toyota Hilux dan sepupunya, Eh Heak Eh Yek, 54, ditemui lemas di sungai tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Anuar Yaacob berkata, Eh Bau dijumpai kira-kira pukul pukul 9.20 pagi di tempat duduk belakang kenderaan itu manakala Eh Heak pada pukul 10.54 pagi di dasar sungai.

Menurutnya, trak pikap yang mereka naiki dapat dikeluarkan ke darat menggunakan kren dan cermin hadapan kenderaan itu didapati pecah sebelum menemui mayat Eh Bau di dalam kenderaan tersebut.

“Mayat Eh Heak pula dijumpai kira-kira empat meter di dalam sungai dan 27 meter dari tebing Sungai Chenderung Kubu.

“Kedua-dua mayat diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Tumpat untuk dibedah siasat,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Ahli keluarga tidak dapat menahan sebak selepas mayat Eh Bau ditemui lemas di Sungai Chenderung Kubu di Kampung Chenderung Kubu, Tumpat hari ini. – Foto oleh ROHANA ISMAIL / KOSMO!

Saksi kejadian, Kamal hakimi Fauzi ,19, berkata, dia melihat trak pikap jenis Toyota Hilux merempuh pagar jambatan Sungai Chenderung Kubu sebelum terjunam ke dalam sungai kira-kira pukul 1 pagi tadi.

“Pada awalnya, saya lihat kenderaan tersebut dipandu perlahan semasa memasuki jambatan tersebut.

“Bagaimanapun, trak pikap itu tiba-tiba memecut laju sehingga terbabas dan merempuh pagar jambatan sebelum terjunam ke dalam sungai,” katanya.

Isteri kepada Eh Heak, Mek Kesom Ealein, 52, berkata, suaminya bersama Eh Bau sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Chenderung selepas menziarahi saudara mereka yang meninggal dunia di sebuah kuil Kampung Terbak di sini.

Menurutnya, Eh Heak keluar dari rumah kira-kira pukul 8 malam tadi ke rumah sepupunya itu dengan menunggang motosikal.

“Dia menaiki trak pikap milik Eh Bau untuk menghadiri upacara kematian di kuil.

“Tiada sebarang kelakuan pelik yang ditunjukkan oleh suami saya sebelum kejadian. Cuma saya amat terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada saudara yang memaklumkan trak pikap dinaiki suami dan sepupunya terjunam ke dalam sungai,” katanya.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, dua lelaki berketurunan Siam dikhuatiri lemas selepas trak pikap yang mereka naiki terbabas sebelum terjunam ke dalam Sungai Chenderung Kubu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI