fbpx

1,668 majikan dikesan tidak patuh gaji minimum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak melakukan sebanyak 28,855 pemeriksaan terhadap majikan daripada pelbagai sektor setakat 31 Ogos lalu.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1,668 majikan didapati tidak mematuhi Perintah Gaji Minimum 2022 dan notis pematuhan telah dikeluarkan.

“Selain itu, bagi tempoh 1 Januari 2023 sehingga 31 Ogos 2023, sebanyak 575 aduan diterima berhubung ketidakpatuhan majikan terhadap kadar gaji yang ditetapkan di bawah Perintah Gaji Minimum 2022.

“Seterusnya bagi tempoh yang sama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak telah menerima 1,569 tuntutan kes buruh daripada pelbagai sektor berkaitan kegagalan majikan membuat bayaran gaji mengikut Perintah Gaji Minimum 2022.

“Sepanjang tempoh yang sama, sebanyak 55 tindakan pendakwaan yang telah diambil atas kegagalan majikan dengan amaun denda RM112,300,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Sivakumar berkata, gaji minimum merupakan gaji terendah yang dibenarkan oleh undang-undang untuk pekerja-pekerja asas tanpa kemahiran.

Menurut beliau, bagi pekerja-pekerja yang
berpengalaman dan berkemahiran, gaji mereka seharusnya lebih tinggi daripada gaji minimum yang ditentukan oleh pasaran buruh, rundingan dengan pihak majikan atau Perjanjian Kolektif.

“Buat masa sekarang, Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara sedang melaksanakan kajian semula dengan mengadakan perundingan awam dan sesi libat urus bagi mendapatkan input dan maklumat berkaitan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI