fbpx

MR D.I.Y. hasilkan seterika terapung gergasi di Taman Tasik Titiwangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seterika gergasi terapung MR D.I.Y akan menghiasi Taman Tasik Titiwangsa sehingga 15 Oktober ini.

PETALING JAYA – Orang ramai boleh menyaksikan idea kreativiti MR D.I.Y. terbaharu iaitu replika seterika terapung gergasi di Taman Tasik Titiwangsa sehingga 15 Oktober ini.

Replika  berukuran 16X7.5X8 meter yang sedang menghiasi taman tasik itu telah mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records (MBR) sebagai replika seterika terapung terbesar di Malaysia

Bagi memudahkan orang ramai melihat dengan lebih dekat lagi, pihak taman tasik tersebut telah menyediakan ruang yang selamat untuk orang ramai berkumpul di situ.

Menurut Ketua Pemasaran Kumpulan MR D.I.Y. Group, Alex Goh, pelancaran replika seterika terapung gergasi itu menandakan permulaan inisiatif terkini peruncit tersebut yang diberi nama “Kecil & Besar, MR D.I.Y. Ada”.

“Replika ini adalah sesuatu yang menyeronokkan dan menarik untuk menyampaikan mesej syarikat kepada semua rakyat  dan pastinya menghiburkan mereka semasa menikmati cuti Hari Merdeka dan Hari Malaysia.

“Besar atau kecil, MR D.I.Y. memang ada semuanya. Kami menawarkan barang-barang terkecil daripada bateri, mangga berkunci, dan rantai kunci hinggalah barang-barang besar seperti pembersih vakum, kolam boleh kembung, dan juga tangga boleh lipat. 

“Kami menawarkan harga yang rendah, bermula kurang daripada RM1.00. Kami mempunyai format kedai yang lebih kecil untuk memenuhi keperluan pelanggan di bandar-bandar kecil seperti Permatang Pauh, Pulau Pinang, dan Sik, Kedah, sehingga ke kedai format besar MR. D.I.Y. PLUS di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan Johor Bahru, yang meliputi kawasan seluas lebih 20,000 kaki persegi.

“Kami juga menawarkan pelbagai keperluan pengguna dari bayi hinggalah warga emas. Ini adalah janji besar yang kami berikan dan kami sangat berbangga dapat memenuhinya,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Goh menjelaskan, kejayaan pemasangan replika itu adalah usaha sama peruncit dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. 

Selain itu, MR D.I.Y. turut mempamerkan pelbagai tarikan menarik yang lain di beberapa kawasan bandar yang sibuk, termasuk pili air interaktif di Dataran Merdeka yang mana pengunjung boleh mendapatkan air minuman.

Terdapat juga berus cat dan pengecas bateri di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, botol air Disney gergasi di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur dan patung gebu dinosaur serta bola sepak di MyTown Cheras Kuala Lumpur. 

Kesemua tarikan menarik ini dipamerkan bermula 5 September. -KOSMO!ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI