fbpx

Rogol wanita bergilir: Tiga lelaki termasuk dua beradik pula didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga tertuduh diiringi polis ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen, hari ini. Foto IQBAL ROSLI

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki termasuk dua beradik didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan merogol seorang wanita secara bergilir-gilir di sebuah pangsapuri di Wangsa Maju, akhir bulan lalu.

Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh iaitu dua beradik Nik Mohammad Rahimin Mat Zaid, 33, dan adiknya Nik Khaira Hafizi, 28, serta seorang lagi rakan mereka Mohd. Zulhilmi Zainuddin, 33, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norina Zainol Abidin.

Nik Mohammad Rahimin bekerja sebagai mekanik manakala Nik Khaira dan Mohd. Zulhilmi merupakan pekerja kedai makan.

Mengikut pertuduhan ketiga-tiga tertuduh bersama-sama didakwa dengan sengaja telah melakukan merogol terhadap seorang wanita berusia 26 tahun di sebuah pangsapuri di Wangsa Maju, di sini, antara pukul 2 pagi hingga 3.30 pagi pada 30 Ogos lalu.

Justeru ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang mana hukuman bagi seksyen memperuntukkan penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta boleh dikenakan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan yang dilakukan ketiga-tiga tertuduh adalah serius iaitu rogol berkumpulan.

Semasa prosiding hakim bertanya kepada pihak pendakwaan, apakah hubungan antara ketiga-tiga tertuduh dengan mangsa, Noorhani kemudian memaklumkan kesemua tertuduh adalah rakan kepada abang ipar mangsa yang telah dituduh sebelum ini.

Bagaimanapun ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dibenarkan ikat jamin masing-masing dengan alasan sudah berkahwin dan mempunyai tanggungan anak.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah memutuskan untuk ketiga-tiga tertuduh tidak diikat jamin.

Tarikh 12 Oktober ini ditetapkan sebutan semula kes.

Pada 8 September lalu, abang ipar wanita itu didakwa dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dalam kejadian rogol bergilir-gilir di tempat sama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah bersubahat bersama rakan-rakan sejenayah yang masih bebas dengan cara memudahkan perbuatan rogol berkumpulan terhadap adik iparnya yang mana kesalahan tersebut telah dilakukan hasil daripada persubahatan tertuduh.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 26 tahun tahun sedang tidur di dalam biliknya tersedar apabila mulutnya ditutup dengan tangan oleh suspek yang juga dipercayai rakan kepada abang iparnya.

Hasil siasatan lanjut kemudian mendapati ia akibat hutang oleh abang ipar mangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI