fbpx

Tiada permohonan diterima berkait ‘Himpunan Selamatkan Malaysia’ Sabtu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allaudeen ada sidang akhbar di Jalan Tun Tan Cheng Lock, hari ini.

KUALA LUMPUR – Polis akan mengambil tindakan seperti yang termaktub di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 sekiranya ‘Himpunan Selamatkan Malaysia’ masih diadakan Sabtu ini, di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, ia susulan pihaknya masih belum menerima sebarang notis pemakluman berhubung penganjuran himpunan tersebut.

“Sebarang pemakluman harus disertakan dengan lampiran kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pemilik lokasi dimana perhimpunan bakal diadakan.

“Setakat ini kita tidak menerima apa-apa notis pemberitahuan daripada penganjur untuk mengadakan ‘Himpunan Selamatkan Malaysia’,” katanya ketika ditemui di Jalan Tun Tan Cheng Lock, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai dakwaan penganjur bahawa makluman perhimpunan sudah dibuat Allaudeen berkata, notis pemakluman harus diserahkan sebelum empat hari sebelum tarikh berhimpun.

“Selepas hanya berbaki tiga hari menjelang Sabtu, kita menganggap tidak menerima sebarang pemakluman daripada mana-mana penganjuran perhimpunan.

“notis pemakluman bertujuan untuk memudahkan polis melakukan penyelarasan dan melancarkan aliran trafik,” ujarnya.

Allaudeen berkata pihak polis tetap akan melakukan pemantauan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam menjadi keutamaan.

“Bagaimanapun setakat ini, kita tidak mempunyai perancangan untuk melakukan penutupan jalan berhubung perhimpunan yang bakal berlangsung, namun polis sentiasa bersiap-siaga terhadap sebarang kemungkinan,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai perancangan satu lagi perhimpunan oleh kumpulan ‘Baju Merah’ diketuai Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos, Allaudeen meminta masyarakat memberi ruang dan menyerahkannya kepada polis untuk mengawasi kumpulan terbabit. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI