fbpx

Hadir persidangan DAP untuk santuni – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (dua dari kiri) menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta pada majlis penutup program Malaysia Next Leaders Bagan Datuk 2023 di Dewan Dato’ Lope Hashim, Bagan Datuk, hari ini. - Foto ZULFACHRI ZULKIFLI

BAGAN DATUK – Kehadiran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam perhimpunan tahunan DAP, yang pertama kali dalam sejarah penubuhan kedua-dua parti, adalah bagi menyantuni pemimpin parti tersebut.

Menurut Ahmad Zahid, ia kerana kepimpinan utama DAP termasuk Setiausaha Agungnya, Anthony Loke hadir dalam perhimpunan agung UMNO, tahun ini.

“Oleh kerana kita berada dalam satu gagasan parti gabungan, jadi orang berbudi kita berbahasa.

“Kita datang ke sana walaupun ini pertama kali sejarah seumur hidup saya menghadiri mana-mana perhimpunan parti berkenaan, namun sambutan diterima dengan tepukan bergemuruh secara ‘authentic’ mengejutkan saya, dan harap tidak ada interpretasi yang pelbagailah,” jelasnya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program Malaysia Next Leaders: Akademi Kepimpinan Malaysia, di sini hari ini.

Menurutnya, kira-kira sembilan bulan lalu, UMNO dan DAP menjadi seteru politik tetapi menerusi kerajaan perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, landskap politik sudah berubah.

Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, kedua-dua parti menghormati satu sama lain terutama prinsip-prinsip yang dinyatakan oleh kepimpinan DAP iaitu perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Negara dihormati.

Beliau dimaklumkan, itu adalah komitmen yang dinyatakan dan diulangi oleh Loke dalam ucapan dasarnya hari ini dan berharap ia tidak mengelirukan masyarakat Islam dan orang Melayu.

“Saya fikir jangan ada manipulasi dengan kata UMDAP bagi merujuk (kerjasama) UMNO dan DAP, dan sebagainya, itu adalah propaganda politik.

“Tetapi kita lihat kebelakangan ini, kesimpulannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram, kombinasi pengundi pelbagai kaum telah memenangkan calon Kerajaan Perpaduan,” ujarnya lagi.

Hari ini media melaporkan, Ahmad Zahid memecah tradisi apabila menjadi Presiden UMNO pertama menghadiri Persidangan Tahunan DAP yang berlangsung di sebuah hotel hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI