fbpx

Kurang sambutan, penerbangan komersial di Melaka dihentikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUASANA lengang di LTAM, Batu Berendam, Melaka.

MELAKA – Penerbangan komersial di negeri ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) dihentikan selepas satu-satunya syarikat penerbangan yang menawarkan perkhidmatan, Wings Abadi Air turut menamatkan jadual perjalanannya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, penamatan penerbangan dari Pekanbaru, Indonesia ke Melaka itu dibuat selepas syarikat tersebut mengalami kerugian ekoran permintaan yang terlalu rendah.

“Sebelum ini kita masih ada penerbangan komersial Wings Air tetapi mereka telah menamatkan sendiri operasi pada baru-baru ini, situasi sama juga berlaku dengan Batik Air dan Air Asia yang juga pernah menyediakan perkhidmatan di LTAM.

“Isu yang kita lihat adalah jumlah permintaan untuk penerbangan komersial melalui LTAM adalah tidak mencapai sasaran syarikat, sebaliknya menyebabkan kerugian, seperti penerbangan ke Pulau Pinang-Melaka yang tidak menampung kos operasi mereka,” katanya kepada pemberita.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, kerajaan negeri bagaimanapun bersedia untuk membincangkan insentif yang boleh diberikan kepada mana-mana syarikat penerbangan yang berminat menyediakan perkhidmatan di LTAM.

“Setakat ini kita telah pun berjumpa dengan enam buah syarikat penerbangan domestik dan antarabangsa, saya sendiri ke pejabat mereka untuk berbincang dan mempelawa membuka laluan di LTAM.

“Kita menawarkan mana-mana syarikat penerbangan yang mahukan ruang di Melaka, kita tiada halangan dan bersedia membincangkan apakah insentif yang boleh dibantu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hameed memberitahu, bersempena dengan agenda utama kerajaan negeri, Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024, pihaknya turut memprosikan LTAM dengan penganjuran Karnival Udara Melaka.

Katanya, seramai 25,000 pengunjung dijangka hadir bagi menyaksikan persembahan melibatkan syarikat penerbangan antarabangsa termasuklah Australia, Rusia, Thailand dan Singapura yang telah mengesahkan penyertaan, selain agensi-agensi kerajaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI