fbpx

Penjawat awam maut bertumbuk gara-gara kacau isteri orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hasran menunjukkan kesan darah selepas dua lelaki bergaduh di depan sebuah premis di simpang empat, Kampung Sungai Hala dekat Machang hari ini. FOTO ROHANA MOHD. NAWI

MACHANG – Seorang penjawat awam maut selepas bertumbuk dengan seorang lelaki apabila dia dipercayai mengganggu isteri orang dalam kejadian depan sebuah premis di simpang empat, Kampung Sungai Hala di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 pagi itu, lelaki berusia 51 tahun itu meninggal dunia di Hospital Machang di sini selepas mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian anggota badan.

Difahamkan, mangsa bertugas satu pejabat dengan isteri suspek yang terlibat dalam kes tersebut.

Saksi kejadian, Hasran Hassan, 53, berkata, dia sedang membaiki motosikal di bengkelnya sebelum melihat dua lelaki yang tidak dikenali sedang bertengkar antara satu sama lain.

Menurutnya, selepas berlaku pertengkaran, kedua-dua individu itu dilihat bergelut di tepi jalan bersebelahan kedainya yang turut diperhatikan oleh beberapa lelaki lain tanpa membantu untuk meleraikan pergaduhan tersebut.

“Melihat situasi itu, saya terus bergegas ke lokasi kejadian dan meminta mereka supaya berhenti bergaduh.

“Saya terkejut apabila beberapa orang awam yang melihat kejadian itu tidak memberi sebarang bantuan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Hasran memberitahu, selepas kedua-dua mangsa berlumuran darah, dia terus menghubungi pihak polis memaklumkan mengenai kejadian itu.

Katanya, berdasarkan pemerhatiannya, pergelutan antara kedua-dua lelaki itu berlaku dalam tempoh 45 minit.

“Saya difahamkan, mangsa merupakan seorang penjawat awam manakala suspek berusia dalam lingkungan 40-an yang bergaduh dengannya bekerja dengan sebuah syarikat perkapalan.

“Mangsa ketika itu berada dalam keadaan berlumuran darah sebelum dibawa ke Hospital Machang. Difahamkan, lelaki itu meninggal dunia semasa berada di hospital berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd. Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan pihak polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI