fbpx
Unit Anjing Pengesan (K9) bomba turut dikerah dalam misi pencarian Nur Izzati di Bukit Changkat Asa, Hulu Selangor hari ini.

Radius pencarian Nur Izzati di Bukit Changkat Asa diperluas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HULU SELANGOR – Radius kawasan pencarian dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja perempuan yang hilang ketika aktiviti pendakian di Bukit Changkat Asa di sini, diperluaskan kepada 0.5 kilometer persegi hari ini.

Pegawai Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Azliza Ahmad berkata, pasukan SAR menggunakan teknik sweeping dengan tumpuan pencarian setakat tengah hari tadi di kawasan timur Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

Menurut beliau, operasi SAR hari ini turut dibantu tiga unit anjing pengesan iaitu dua daripada JBPM dan satu milik Polis Diraja Malaysia.

“Seramai 90 individu terlibat dalam operasi SAR setakat tengah hari ini membabitkan anggota pelbagai agensi keselamatan serta sukarelawan.

“Operasi pencarian hari ini turut menggunakan khidmat unit dron daripada Unit Pengurusan Bencana Kerajaan Negeri Selangor,” katanya di sini hari ini.

Katanya, antara agensi yang terlibat dalam operasi berkenaan ialah JBPM, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Perhutanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara serta Persatuan Malim Gunung Perhutanan.

Beliau berkata, trek pendakian di bukit berkenaan melibatkan laluan sepanjang 800 meter dari kaki bukit ke puncak setinggi 267 meter sebelum kembali semula ke kaki bukit melalui laluan sama.

“Setakat ini, tiada petunjuk baharu ditemukan dan pasukan SAR hanya menggunakan maklumat yang diperoleh daripada ahli keluarga mangsa dalam usaha pencarian ini,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan remaja perempuan berumur 19 tahun yang hilang dipercayai sesat ketika menuruni Bukit Changkat Asa, Hulu Selangor masih belum ditemui selepas lebih 48 jam.

Nur Izzati Humaira Azizul dilaporkan terpisah daripada lima rakan serta ahli keluarganya yang melakukan aktiviti mendaki di lokasi berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN