fbpx

Khairul Aming menang besar, seru anak muda habis belajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairul Aming dinobatkan sebagai Creator Of The Year pada Acara TikTok Awards Malaysia 2023 yang dianjurkan buat pertama kalinya di Mitec, Kuala Lumpur malam tadi.

KUALA LUMPUR – Menepati ramalan, pempengaruh Khairul Aming dinobatkan sebagai pemenang kategori Creator Of The Year pada TikTok Awards Malaysia 2023 yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (Mitec), Kuala Lumpur.

Kemenangan Khairul Aming sekaligus menewaskan lima pencabar lain seperti Boss James yang mengendalikan akaun TikTok @bossjames_eo; Lawyer Gandhi (@lawyerghandi); Auntie Purple (@auntiepurple248); Ceddy (@ceddyornot) dan Sally (@sallywhoo).

Khairul atau nama lengkapnya, Khairul Amin Kamarulzaman, 31, dalam ucapannya berasa sebak memenangi anugerah besar tersebut dan berharap momen manis itu dapat disaksikan Allahyarham bapanya.

“Terima kasih kepada mak, arwah ayah dan pasukan Sambal Nyet (produknya).

“Kalau ayah dapat tengok saya terima anugerah ini mesti dia berbangga sebab sudah lapan tahun saya bekerja keras,” katanya ketika menerima trofi.

Dalam masa sama, Khairul yang sangat terkenal dengan kandungan memasak sepanjang bulan Ramadan sempat menitipkan nasihat kepada anak muda untuk tidak mengabaikan pelajaran.

“Kepada anak muda yang menceburi bidang ini, kalau masih bersekolah, habiskan belajar dahulu supaya keluar nanti boleh jadi pencipta kandungan berkualiti.

“Pencipta kandungan ini bukan sekadar tular sahaja, tapi perlu ada adab dan kebolehan menyelesaikan masalah,” ujarnya usai menerima trofi daripada Datuk Yusof Haslam dan Ziana Zain.

TikTok Awards Malaysia 2023 disiarkan secara langsung TV3 dan akaun TikTok Malaysia merupakan acara anugerah terbesar anjuran platform media sosial, TikTok untuk memberi pengiktirafan kepada pencipta kandungan luar biasa yang merangkumi pelbagai latar belakang dan bidang.

Mereka mempamerkan kreativiti melalui penghasilan kandungan yang menyeronokkan seterusnya memberikan impak positif kepada segenap lapisan masyarakat.

Majlis anugerah malam tadi turut dimeriahkan dengan beberapa nama besar seperti Datuk Yusof Haslam, Bell Ngasri, Amber Chia, Farah Ann Abdul Hadi dan ramai lagi yang akan menyampaikan trofi.

Penonton juga diserikan dengan persembahan Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Zeppo, Dolla, Marsha Milan, Ernie Zakri, Alyph dan ramai lagi.

Malam kemuncak TikTok Awards Malaysia 2023 dihoskan Izzue Islam, Sherry Alhadad dan Amelia Henderson. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI